loading...
Monday, July 23, 2012
3 Maut di awal Ramadhan
Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN – Tiga remaja maut dalam tragedi awal Ramadan membabitkan motosikal dan dua kenderaan lain di Bentong serta Sungai Ular, Kuantan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian di Kilometer 5 Jalan Lama Bentong-Gombak berhampiran Taman Kolej itu meragut nyawa Mohd Iwan Redzuan, 17, dan Mohamad Iqbal Miqail Ahmad Fahairol, 14.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, motosikal jenis Honda Wave dinaiki dua remaja terbabit dipercayai terbabas di satu selekoh.
“Keadaan itu mengakibatkan penunggangnya gagal mengawal kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang dalam perjalanan dari arah Gombak ke Bentong,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini siasatan masih diteruskan lagi,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, seorang pelajar perempuan, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Kia Sorento, kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baging terbabit dikatakan tercampak dan terjatuh di atas permukaan jalan selepas bertembung dengan kenderaan dipercayai memasuki jalan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian badan.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi, Sungai Baging itu menunggang motosikal seorang diri ke sebuah kedai runcit untuk membuat salinan fotokopi tugasan sekolahnya.
“Namun sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan dari Kuantan menghala ke Cherating dipercayai ‘makan jalan’ bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Akibat pertembungan itu, mangsa dikatakan tercampak dan terjatuh atas permukaan jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dituntut keluarganya sebaik saja bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), petang kelmarin.
Menurutnya, keterangan daripada pemandu terbabit yang juga seorang jurutera berusia 24 tahun dari Bukit Pelindung, di sini, sudah diambil untuk membantu siasatan.
“Kita sudah menjalankan ujian air kencing dan keputusannya negatif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah ketika memandu," katanya.
Mohd Jasmani berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tragedi-awal-ramadan-1.69167
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment