KUANTAN: “Ketika kereta berpusing lebih 10 kali, saya terbayang ajal bakal menjemput,” kata Hazuan Afiqq Hamzah, 21, yang terselamat selepas kereta Proton Gen-2 dinaiki bersama empat rakan terbabas dan melanggar tiang elektrik akibat mengelak motosikal dan kereta Perodua Kancil di Jalan Tanah Putih, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.45 malam, Hazuan Afiqq bersama empat rakannya dikenali sebagai Zarif, 21; Tengku Ahmad, 21, Mohd Hanif, 21, dan Mohd Syafiq, 21, cedera dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan.
Mengimbas semula detik cemas itu semalam, Hazuan yang tinggal di Tanjung Api, di sini, berkata sebelum kejadian, dia yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, selangor, bersama empat rakannya yang menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam perjalanan pulang ke Kuantan kerana cuti semester.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, Zarif yang memandu cuba mengelak seorang penunggang motosikal yang dikatakan terus masuk ke laluan jalan selepas membuat pusingan U untuk menghala ke Kuantan.
Katanya, ketika cuba mengelak motosikal itu serta sebuah kereta Perodua Kancil di depannya, kereta dinaiki terbabas ke kanan jalan sebelum melanggar tiang elektrik dan berpusing beberapa kali.
Hazuan berkata, selepas kereta terbabas ke dalam longkang, dia dan Zarif keluar melalui tingkap di tempat duduknya bahagian depan.
“Saya terkejut melihat Tengku Ahmad dan Mohd Syafiq terlentang di rumput, manakala Mohd Hanif terbaring dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Bagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana semua rakan saya terselamat dan sudah sedarkan diri, namun Tengku Ahmad dipercayai patah rusuk,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Trafik Negeri, Asisten Superintendan Zainalaibidin Othman berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit dan seorang mangsa sudah membuat laporan polis, pagi semalam
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretapusing10kali/Article/artikelMA
No comments:
Post a Comment