loading...

Wednesday, April 25, 2012

Kereta bakal pengantin terbalik


ALOR GAJAH - Seorang gadis yang bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini, nyaris maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbalik di Jalan Masjid Tanah-Hutan Simpan, dekat sini, kira-kira jam 8 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, kereta Perodua Viva yang dipandu, Norhidayah Zakaria, 27, dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di sebuah kilang di Batu Berendam menuju ke rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, di sini.

Difahamkan mangsa yang memandu dalam keletihan selepas tamat waktu bekerja pada jam 7 pagi, hilang kawalan sebelum melepasi satu selekoh mengakibatkan keretanya terbabas ke kiri jalan dan merempuh sebatang tiang elektrik.

Norhidayah berkata, dia tidak menyedari kereta dipandunya semakin menghampiri sebatang tiang elektrik di kiri jalan.

“Saya tidak sedar kereta sudah menghala ke arah kiri jalan dan terkejut sebaik melihat jarak antara kereta dengan tiang elektrik di hadapan semakin hampir.

“Dalam keadaan panik, saya cuba memaut stereng ke arah kanan bagi mengelak daripada merempuh tiang elektrik, namun gagal kerana jaraknya terlalu dekat,” katanya.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan keretanya terseret dan berpusing menghala semula ke arah bandar Melaka.

“Saya tersempit di tempat pemandu dan gagal keluar sendiri sebelum dibantu orang awam melalui pintu sebelah penumpang hadapan.

“Kemudian saya dihantar ke sebuah klinik panel di pekan Masjid Tanah oleh seorang wanita sebelum menghubungi keluarga memaklumkan kejadian yang berlaku,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian yang menimpa.

Bagaimanapun, Norhidayah yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya, Syukur Amin Mohd Arifin, 24, tidak mengalami kecederaan serius dan menerima rawatan pesakit luar.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-bakal-pengantin-terbalik-1.42923


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my