loading...

Friday, February 3, 2012

Warga HUSM Maut di Bulatan Dusun Raja

Inalillahi wainailaihi rojiun  

KOTA BHARU - Malang menimpa bapa enam anak, sejurus selepas selesai makan tengah hari bersama keluarganya di rumahnya, apabila terbabit nahas motosikal dan lori, petang kelmarin.

Mohd Rodzi Hussin, 46, yang menunggang motosikal gagal mengelak sebuah lori lalu merempuh kenderaan terbabit di bulatan Dusun Raja, di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa parah organ dalaman dan disahkan meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), jam 6.52 petang.

Mangsa, yang berasal dari Binjai Baru, Badang, dari arah lampu isyarat Dusun Raja, dikatakan gagal mengelak lori sekali gus melanggar belakang kenderaan terbabit.

Isteri mangsa, Nor Raida Musa, 41, berkata, kebiasaannya suaminya seorang tukang kebun di HUSM akan singgah makan di rumah, selepas mengambil anak, Mohd Hasrul Fahmi, 7, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol.

“Tetapi pada hari kejadian (kelmarin) dia beria-ia hendak balik mengambil anak dan makan tengah hari bersama saya, walaupun pada mulanya saya hendak mengambil sendiri anak dari sekolah.

“Memang sudah menjadi rutinnya, akan singgah makan nasi selepas pulang mengambil anak dari sekolah, namun saya tidak menyangka kepulangannya semalam (kelmarin) adalah tanda dia akan pergi buat selamanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Nor Raida berkata, sebelum kejadian, suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan selepas selesai makan tengah hari dan terus ke tempat kerjanya di HUSM seperti biasa kira-kira jam 2 petang.

“Saya hanya dikejutkan dengan berita dia terlibat dalam kemalangan pada jam 3 petang oleh orang yang tidak dikenali dan saya suruh lelaki itu membawa suami saya ke HUSM.

“Ketika sampai di hospital, saya lihat suami saya masih dalam keadaan sedar tetapi doktor kata, dia mengalami pendarahan yang banyak dan perlu dimasukkan ke bilik pembedahan segera,” katanya.

Nor Raida berkata, walaupun masih terkejut dengan pemergian suaminya itu, namun dia reda dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman.

“Pemandu lori terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas kejadian kira-kira jam 6 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bapa-enam-anak-meninggal-dunia-selepas-rempuh-lori-1.21729

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my