tercampak 5 meter
Inalillahi wainailaihi rojiun
Kasih ibu membawa ke mati. Itulah yang berlaku kepada seorang wanita kepada empat anak yang sanggup keluar berjalan kaki semata-mata mahu mencari dua anaknya yang tidak pulang ke rumah hingga lewat malam.
MELAKA 28 Jan. - Seorang wanita yang berjalan kaki bersendirian ketika keluar mencari anaknya yang tidak pulang-pulang dari bermain futsal ditimpa malang apabila mati dilanggar sebuah kereta di Jalan Tun Teja, Cheng di sini awal pagi ini.
Samad Saliman di samping mayat Rosmariah Mohamad
yang menjadi mangsa langgar lari di Melaka
Lebih menyedihkan mayat mangsa, Rosmariah Mohamad, 34, yang tercampak kira-kira lima meter ke dalam longkang berhampiran hanya ditemui orang ramai kira-kira pukul 8 pagi.
Malah, suami mangsa langsung tidak mengetahui kejadian menimpa isterinya dan hanya menyedari Rosmariah tiada di rumah sewaktu terjaga dari tidur kira-kira pukul 4 pagi.
Suami mangsa, Samad Saliman, 38, berkata, isterinya dipercayai keluar dari rumah mereka di Rumah Pangsa Cheng Mutiara bagi mencari dua anak lelaki mereka, Mohamad Shazurin Farhan, 15, dan Mohamad Shazrul Fahmi, 12, yang tidak balik-balik daripada bermain futsal di sebuah gelanggang tidak jauh dari rumah mereka.
"Kira-kira pukul 12.30 tengah malam, isteri saya keluar dari rumah mencari kedua-dua anak yang keluar sejak pukul 10.30 malam.
"Selepas dia keluar, saya terus tertidur dan apabila terjaga, saya menyedari isteri saya tiada. Puas saya cari di gelanggang futsal yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah, tetapi gagal menemuinya," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua anaknya juga memberitahu tidak berjumpa dengan ibu mereka sewaktu bermain futsal.
Bagaimanapun, kata Samad, kira-kira pukul 8 pagi ini, penduduk berhampiran kecoh berikutan penemuan mayat di dalam longkang bersebelahan jalan tidak jauh dari rumah mereka.
"Mulanya saya tidak syak apa-apa dan apabila pergi ke tempat kejadian saya terkejut melihat mayat terbujur di dalam longkang itu adalah isteri saya.
"Luluh hati saya melihat mayat isteri saya yang mengalami kecederaan parah di kepala," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supritendan Muhammad Koey Abdullah berkata, kemalangan yang menimpa Rosmariah itu diklasifikasikan sebagai langgar lari.
Menurutnya, berdasarkan penemuan cermin sisi sebuah kenderaan dan dahan-dahan pokok yang patah di tempat kejadian, disyaki sebuah kenderaan melanggar wanita itu sehingga mangsa tercampak ke dalam longkang.
"Mangsa dipercayai terpelanting ke pokok seterusnya ke pagar berhampiran sebelum masuk ke dalam longkang. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala," katanya.
Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm
bharian.com.my/articles/Anaksangkaibutidurdalambilik/Article
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
No comments:
Post a Comment