loading...

Wednesday, February 8, 2012

Pelajar Polimas Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun   

JITRA: “Kebiasaannya Izam memasak makanan yang hendak dibawa sebagai bekal ke tempatnya menjalani latihan amali setiap pagi kerana tidak mahu menyusahkan saya.

“Semalam, Izam turut membawa ayam goreng yang dibeli di restoran makanan segera di Alor Setar, malam semalam (kelmarin) sebagai bekalan,” kata Zawiah Bidin, 48, ibu kepada Mohamad Izam Azuar Khairuddin, 22, yang maut selepas motosikalnya merempuh sebuah van menyebabkan dia terjatuh di atas jalan sebelum dilanggar sebuah pikap dari arah sama.


Kejadian berlaku di Kilometer 34.5 Lebuhraya Utara-Selatan di sini, kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Satria, Jalan Langgar, Alor Setar ke sebuah kilang di Hosba bagi menjalani latihan amali.

Pelajar semester empat Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) dekat sini, mati serta merta di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan dan kepala.


Zawiah berkata, Izam yang juga anak kedua daripada empat beradik, tidak menunjukkan sebarang petanda pelik ketika keluar dari rumah untuk ke tempat dia menjalani latihan amali kira-kira jam 8.45 pagi.


Katanya, dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira jam 9.30 pagi memberitahu anaknya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya lalu bergegas ke tempat kejadian sebelum ke Rumah Mayat Hospital Jitra (HJ).


“Dia rajin dan baik, tidak banyak kerenah menyebabkan saya amat terasa kehilangannya tetapi reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat HJ, di sini.


Sementara itu, ibu saudara mangsa, Bashiroh Ahmad, 36, berkata bapa Mohamad Izam, Khairuddin Hashim meninggal dunia akibat kanser lidah ketika sambutan Maulidur Rasul tahun lalu.

Jenazah Mohamad Izam dituntut keluarganya sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Lepai selepas solat Asar petang semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri, dipercayai melihat kemalangan di jalan bertentangan membabitkan sebuah lori yang tercabut tayar.


Menurutnya, mangsa dikatakan gagal mengelak sebuah van yang berhenti menyebabkannya merempuh kenderaan terbabit.


“Pada masa sama, sebuah pikap dari arah sama tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan.


“Pemandu pikap berusia 40-an itu sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu sejurus kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya yang meminta orang ramai menyaksikan kemalangan itu menghubungi polis di talian 04-9172222 untuk membantu siasatan.

Al-Fatihah..








Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautrempuhvan/Article/index_html
ntv7.com.my/7edition/local-en/PELAJAR_MAUT.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my