loading...
Wednesday, February 8, 2012
Ayah Sesal Terlanggar Anak
Inalillahi wainailaihi rojiun
KUALA LIPIS: “Maafkan ayah nak... ayah tak sengaja,” hanya itu yang mampu diluahkan Jais Selamad, 45, selepas terlanggar anak bongsunya menyebabkan kanak-kanak perempuan berusia satu tahun itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Kejadian berlaku ketika Jais mengundurkan pacuan empat roda miliknya di rumahnya di Kampung Dusun, dekat sini, jam 6.05 petang kelmarin, tanpa menyedari mangsa, Nurfazliyana berada di belakang kenderaan itu. Mengimbas detik menyedihkan itu, Jais berkata, sebelum kejadian dia bersama isteri, Rosaida Mustafa, 39, serta empat anak mereka termasuk Allahyarham Nurfazliyana menikmati juadah bubur sebagai hidangan minum petang.
“Selepas selesai, saya memaklumkan isteri mahu ke kebun. Selepas menghidupkan enjin pacuan empat roda di depan rumah, saya mengundurkan kenderaan itu.
“Tiba-tiba saya terasa seperti melanggar sesuatu dan belum pun sempat berbuat apa-apa, isteri menjerit memberitahu saya terlanggar anak di belakang kenderaan,” katanya.
Jais berkata, dia segera keluar dan memeriksa bawah kenderaannya dan ketika itu sukar digambarkan kesedihan apabila melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri.“Hanya Allah yang tahu perasaan saya, sedihnya sukar untuk diceritakan. Saya segera memangkunya di riba saya dan ketika itu kepalanya berlumuran darah.
“Selepas saya periksa, sah dia meninggal dunia. Saya rasa sangat bersalah, tapi apa yang saya mampu katakan kerana saya tak sengaja dan tak akan maafkan diri atas apa yang berlaku,” katanya.
Jais membawa mayat anaknya itu ke Hospital Kuala Lipis (HKL) sebelum membuat laporan polis dan jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Dusun, jam 11 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, polis mengambil keterangan bapa mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah..
Sumber:
hmetro.com.my/articles/Ayahsesaltaksudah/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment