loading...

Saturday, April 16, 2011

Maut tercampak keluar kereta


MASJID TANAH - Seorang lelaki maut serta-merta di tempat kejadian selepas kereta milik ibunya yang dipandu terbabas di satu selekoh tajam sebelum tercampak keluar di Batu 25, Kampung Ramuan China Kecil, dekat sini, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kereta jenis Proton Saga Aeroback yang dipandu mangsa, Mohd Faizal Sofian, 30, dari arah Masjid Tanah menuju ke Lubok China bersama dua lagi rakan, Mohd Azwan Isnin, 25 dan Mohd Faizal Sumardi, 23.

Difahamkan, kereta yang dipandu hilang kawalan sebaik melalui satu selekoh tajam lalu terbabas ke kanan jalan dan meluncur laju melanggar tembok besi sebuah rumah kedai dan sebatang tiang elektrik sebelum terseret sejauh kira-kira 78 meter.

Saksi kejadian, Kamarudin Isnin, 44, berkata, dia yang belum tidur ketika itu terkejut sebaik terdengar bunyi dentuman kuat beberapa meter dari rumahnya.

“Saya terus keluar dan mendapati ada sebuah kereta sudah melintang di atas jalan raya.

“Masa kejadian saya baru selesai menonton televisyen dan hendak keluar kunci pintu pagar tetapi belum sempat keluar, saya terdengar bunyi benda terseret kuat dan berdentum,” katanya.

Menurutnya, dia melihat dua penumpang sudah keluar menyelamatkan diri dan seorang lagi yang memang sudah terbaring atas jalan raya berada dalam keadaan tidak bergerak.

“Salah seorang mangsa meminta bantuan supaya menghubungi pihak berkuasa tetapi rakan mereka sampai lebih awal dan terus bawa mereka ke klinik berdekatan, sementara menanti kedatangan pihak polis serta bomba,” katanya.

Kakak mangsa, Saliza Sufiyan, 33, pula berkata, petang sebelum kejadian, arwah adiknya yang bekerja bertukang dengan suaminya keluar dari rumah kira-kira jam 8.30 malam dan tidak memaklumkan hendak ke mana dalam keadaan kurang sihat.

“Seminggu dia demam dan sejak tiga hari lalu, memang dia memerap di rumah sahaja.

“Jika keluar pun, dia balik cepat tetapi pada hari kejadian, sebaliknya pula yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, sejak seminggu lalu perwatakannya nampak sedikit berubah kerana mudah ambil hati.

“Apa sahaja yang emak tegur seolah-olah sukar diterima dan pasti berlaku sedikit perselisihan faham meskipun hanya perkara kecil.

“Arwah adik ada datang ke rumah kami di Taman Wira Mas, Lubok China, memaklumkan ingin meminjam wang RM100 sebagai perbelanjaan dan hendak ke Sungai Buloh untuk bekerja di sana,” katanya.

Saliza berkata, arwah juga sempat makan di rumahnya walaupun sebelum ini tidak pernah berbuat demikian.

“Suami saya juga ada maklumkan arwah kelihatan murung sejak seminggu lalu, malah kerap datang kerja lewat dan mahu pulang ke rumah lebih awal,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurutnya, kereta yang dipandu Mohd Faizal hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh tembok dan sebatang tiang elektrik.

“Kereta dipandu mangsa terbabas sebaik melalui selekoh tajam yang dipercayai licin disebabkan hujan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, sementara dua lagi penumpang, Mohd Faizal Sumardi mengalami kecederaan ringan dan Mohd Azwan Isnin patah bahu kanan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my