loading...

Monday, February 14, 2011

Terkandas 3 Jam Akibat Kemalangan



SEREMBAN 14 Feb. - Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara hari ini terkandas dalam kesesakan hampir tiga jam akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 284, di lebuh raya berkenaan di sini hari ini.

Kesesakan sejauh 15 kilometer itu berpunca apabila kenderaan terbabit terdiri daripada bas, kereta dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) tersebut menghalang jalan.

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku pukul 9.30 pagi apabila sebuah bas membawa 40 penumpang yang dalam perjalanan dari Seremban ke ibu negara melanggar belakang sebuah kereta Proton Wira, dipandu seorang lelaki.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan kereta tersebut yang berada di lorong tengah terbabas ke lorong kanan.

Tambahnya, bas berkenaan kemudian melanggar belakang sebuah lagi 4WD Nissan Navara yang dinaiki dua lelaki.

"Pelanggaran tersebut menyebabkan 4WD terbabit berpusing sebelum diseret bas berkenaan sejauh beberapa meter.

"Bagaimanapun, semua penumpang bas termasuk pemandu dua lagi kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sini hari ini.

Tambahnya, usaha mengalih semua kenderaan itu mengambil masa beberapa jam menyebabkan kesesakan teruk di lebuh raya berkenaan sejauh kira-kira 15 kilometer.

Sementara itu, pemandu Proton Wira yang mahu dikenali sebagai Najib, 35, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.

"Apabila sampai di tempat kejadian beberapa kenderaan di depan saya memperlahankan kenderaan kerana ada satu kemalangan kecil membabitkan dua kereta di hadapan.

"Namun, beberapa saat kemudian sebuah bas dari arah belakang tiba-tiba melanggar kenderaan saya sehingga terbabas ke tepi sebelum bas itu melanggar sebuah lagi kenderaan," jelasnya.

Menurutnya, dia yang memandu seorang diri kemudian bergegas keluar dari kenderaannya kerana bimbang dirempuh kenderaan dari arah belakang.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan semua yang terlibat dalam kemalangan ini juga tidak cedera," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my