loading...

Sunday, January 12, 2014

Pengusaha kilang perabot maut


12 Januari 2014
IPOH - Seorang pengusaha kilang perabot maut manakala dua rakannya cedera setelah kereta Honda City dinaiki mereka terbabas dan melanggar besi pengadang jalan di Kilometer 280 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Ipoh Selatan, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, pemandu kereta, Loh Chee Peng, 29, dari Kajang, Selangor bersama  dua rakannya yang juga pengusaha kilang perabot berusia 29 tahun dan seorang pekerja warga Myanmar berusia 25 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah dari Kedah ke Kuala Lumpur.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kereta dipandu Chee Peng tiba-tiba hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, sewaktu kejadian, keadaan jalan licin akibat hujan lebat sejak awal pagi.

“Akibatnya, kereta dipandu mangsa terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar besi pengadang jalan.

“Kemalangan itu  menyebabkan Chee Peng cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

“Dua penumpang lelaki yang terbabit dalam kemalangan itu hanya cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Wan Sharuddin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.09 malam, lima jam selepas kemalangan itu kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Wan Sharuddin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden itu diminta tampil segera membantu siasatan.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/tauke-perabot-maut-dua-rakan-cedera-1.239753



Ahli Konvoi Superbiker Maut Bertembung Lori





Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Januari 2014
IPOH - Cuti hujung minggu sekumpulan ahli kelab motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi ke Cameron Highlands bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 33, Jalan Simpang Pulai ke Cameron Highlands, semalam.

Mangsa, Shuhaimi Ali Mohd, 41, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

Saksi kejadian, Mohd Anis Amil berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal model Yamaha YZF-R1 dikatakan terbabas sebelum terperosok di bawah lori yang datang dari arah bertentangan.

“Sebelum itu, kami melihat mangsa gagal mengawal motosikalnya ketika melalui satu selekoh sehingga menyebabkan dia terlajak lalu melanggar sebuah lori secara berhadapan.

“Mayat mangsa hanya berjaya dibawa keluar dari bawah lori dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat Simpang Pulai yang dipanggil ke lokasi kejadian,” katanya.

Difahamkan mangsa adalah Timbalan Presiden Andalas Bikers yang berpangkalan di Klang, Selangor.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar ketika dihubungi mengesahkan dan pihaknya siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/peserta-konvoi-maut-1.239750
http://www.nst.com.my/world/superbiker-killed-in-crash-with-lorry-1.459984




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my