loading...
Monday, July 23, 2012
Mustahil ayah meninggal
Inalillahi wainailaihi rojiun
DUNGUN – “Dia bukan ayah saya, mustahil ayah saya mati, baru pagi tadi kami sahur bersama,” kata Mohd Saiful Zakaria, 14, yang tidak dapat menerima berita kematian bapanya, Zakaria Shapiee, 41, mangsa yang maut dalam kemalangan ngeri kira-kira jam 3.30 petang di tapak kuari dekat sini, petang kelmarin.
Ketika kejadian, mangsa yang memandu lori baru mengambil batu kelikir dari kuari Sunway, Tebing Tembah, Paka untuk dibawa ke satu kawasan pembinaan di Sri Bandi, Kemaman.
Bagaimanapun, selepas memulakan perjalanan kira-kira 300 meter dari kuari terbabit, lori dipandu arwah dikatakan mengalami masalah enjin pada kotak gear lalu gagal membrek menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.
Muatan batu dalam lori terbabit menghempap bahagian kepala lori menyebabkan mangsa tertimbus lalu tersepit.
Menceritakan detik sebelum tragedi menimpa arwah, Saiful berkata, dia sempat bersahur bersama sebelum bapanya itu keluar dari rumahnya di Sungai Udang seawal jam 4.30 pagi.
Katanya, arwah bapanya berjanji dengan ibunya, Suriani Mohd Adi, 37, untuk berbuka puasa bersama selepas pulang dari kerja.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun itu berkata, dia menerima berita buruk itu daripada seorang jiran yang secara kebetulan bekerja di tempat sama dengan arwah bapanya.
“Sebaik menerima berita itu, saya terus datang ke sini (tempat kejadian), tapi bila tengok polis bawa turun mayat dari Land Rover, saya tak percaya bahawa dia ayah saya.
“Mustahil itu adalah mayatnya kerana baru pagi tadi kami bersama, lagipun dia janji nak buka puasa bersama,” kata Saiful yang masih trauma.
Bagaimanapun suasana pilu menyelubungi perkarangan Bilik Forensik Hospital Dungun setelah Saiful dibawa masuk untuk mengecam mayat bapanya itu.
Sebaik Saiful membuka kain putih penutup mayat, pelajar tingkatan dua itu tidak dapat menahan sebak apabila mendapati mayat yang terbujur kaku itu sebenarnya adalah insan tersayang yang kali terakhir ditemui waktu sahur sebelumnya.
Saiful yang berlari keluar dari bilik mayat dalam keadaan hiba kemudiannya ditenteramkan ahli keluarga terdekat.
Pasukan penyelamat dengan bantuan kren terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mangsa yang kemudiannya berjaya dikeluarkan didapati sudah meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah pada seluruh anggota badan.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dia-bukan-ayah-saya-mustahil-ayah-saya-mati-1.69276
3 Maut di awal Ramadhan
Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN – Tiga remaja maut dalam tragedi awal Ramadan membabitkan motosikal dan dua kenderaan lain di Bentong serta Sungai Ular, Kuantan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian di Kilometer 5 Jalan Lama Bentong-Gombak berhampiran Taman Kolej itu meragut nyawa Mohd Iwan Redzuan, 17, dan Mohamad Iqbal Miqail Ahmad Fahairol, 14.
Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, motosikal jenis Honda Wave dinaiki dua remaja terbabit dipercayai terbabas di satu selekoh.
“Keadaan itu mengakibatkan penunggangnya gagal mengawal kenderaan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang dalam perjalanan dari arah Gombak ke Bentong,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kini siasatan masih diteruskan lagi,” katanya.
Sementara itu, dalam kejadian di Kilometer 33, Jalan Kuantan-Kemaman, seorang pelajar perempuan, Wan Nur Amanina Wan Ramzi, 14, maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Kia Sorento, kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 1 petang itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baging terbabit dikatakan tercampak dan terjatuh di atas permukaan jalan selepas bertembung dengan kenderaan dipercayai memasuki jalan bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa maut di tempat kejadian apabila mengalami kecederaan parah di bahagian badan.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di Kuarters Stesen Penyelidikan Mardi, Sungai Baging itu menunggang motosikal seorang diri ke sebuah kedai runcit untuk membuat salinan fotokopi tugasan sekolahnya.
“Namun sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah kenderaan dari Kuantan menghala ke Cherating dipercayai ‘makan jalan’ bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Akibat pertembungan itu, mangsa dikatakan tercampak dan terjatuh atas permukaan jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dituntut keluarganya sebaik saja bedah siasat selesai dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), petang kelmarin.
Menurutnya, keterangan daripada pemandu terbabit yang juga seorang jurutera berusia 24 tahun dari Bukit Pelindung, di sini, sudah diambil untuk membantu siasatan.
“Kita sudah menjalankan ujian air kencing dan keputusannya negatif dan bebas daripada penyalahgunaan dadah ketika memandu," katanya.
Mohd Jasmani berkata, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/tragedi-awal-ramadan-1.69167
Subscribe to:
Posts (Atom)





