Inalillahi wainailaihi rojiun
30 November 2013
LEDANG – Seorang pelatih sebuah pusat kemahiran di Melaka, maut selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Solok-Serom 8, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, mangsa, Mohd Faridzul Anuar Abd Hamid, 20, dari Kampung Sungai Rambai, Bukit Gambir, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan anggota badan.
Difahamkan, mangsa yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah bengkel di Bukit Gambir dalam perjalanan pulang dari Tangkak ke bengkel berkenaan.
Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Datsun yang dipandu rakan sekerjanya dipercayai hilang kawalan dan berpusing-pusing sebelum memasuki laluan bertentangan.
Kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki lingkungan usia 30an dari arah Serom 8 menghala ke Tangkak pula tidak sempat mengelak seterusnya merempuh bahagian hadapan penumpang.
Akibat rempuhan kuat itu, mangsa tersepit di tempat duduknya dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Balai Bomba Bukit Gambir, Omar Saat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.29 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan enam anggota bersama satu jentera.
“Kita terlebih dahulu mengeluarkan dua mangsa terselamat untuk dihantar ke hospital dan diikuti mangsa yang sudah meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Mohd Salleh Razak ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian.
Katanya, dua pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan serius dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
“Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131130/dn_15/Pelatih-kemahiran-maut-nahas
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/pelatih-pusat-kemahiran-maut-1.225959
No comments:
Post a Comment