loading...

Thursday, June 13, 2013

Maut gara-gara lori tiada lampu



Inalillahi wainailaihi rojiun

13 Jun 2013
JEMPOL - Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas van yang dinaiki mereka merempuh sebuah lori yang ingin membelok ke kanan di jalan besar Felda Serting Hilir, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, mangsa Muhammad Firdaus Abdul Wahab, 24, bersama rakan sekerjanya berumur 39 tahun yang memandu sebuah van jenis Nissan Datsun menghala ke jalan besar Keratong.

Menurutnya, ketika itu di hadapan mangsa terdapat sebuah lori muatan tong racun yang dipandu individu tidak dikenali dan dipercayai tiada lampu belakang.

"Apabila tiba di tempat kejadian, rakan mangsa tidak menyedari lori itu mahu membelok ke kanan jalan kerana keadaan jalan yang gelap.

"Pemandu van cuba mengelak daripada merempuh lori tersebut dan terus membelok ke kanan jalan, namun berlaku juga rempuhan kuat di bahagian depan van sebelah penumpang yang diduduki Muhammad Firdaus,” katanya.

Hamzah berkata, lori tersebut kemudiannya meluncur laju ke hadapan sebelah kiri jalan, manakala van tersebut melintang di bahagian kanan jalan.

"Mangsa yang tersepit di tempat duduk dan cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa d keluarkan dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Jempol sebelum dihantar ke Hospital Jempol untuk proses bedah siasat," katanya.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, pemandu lori berkenaan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di situ.

"Kini pihak polis sedang mencari pemandu lori tersebut yang bernombor pendaftaran JAN 2430 bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 ini,” katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 06-4582222.

Pemandu van yang cedera di bahagian kepala juga dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rempuh-lori-tiada-lampu-1.170639



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my