loading...

Friday, September 21, 2012

Pekerja KLIA maut bertembung lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

PORT DICKSON – Perjalanan pulang  enam pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) ke rumah masing-masing berakhir tragedi apabila van dinaiki mereka terbabit kemalangan menyebabkan seorang daripadanya maut, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 10.10 pagi di Kilometer 21 Jalan Lukut - Sepang, Tanah Merah, di sini, semalam apabila van yang membawa pulang kesemua enam pekerja terbabit bertembung dengan sebuah lori tangki minyak dan gas.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mek Siti Mera Ibrahim, 53, yang merupakan pencuci kabin kapal terbang di KLIA.

Manakala, lima lagi penumpang van iaitu dua lelaki dan tiga wanita cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, siasatan awal mendapati van yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dari arah Sepang ke Lukut hilang kawalan  akibat mengantuk.

"Akibatnya, van berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Lukut ke Sepang," katanya.

Menurutnya, Mek Siti Mera tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat.

"Pemandu van itu hanya cedera ringan, manakala pemandu lori berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Pemintaan terakhir isteri

Suami Mek Siti Mera, Rosmin Sarkawi, 57, berkata, isterinya pergi kerja dengan menaiki van majikan mengikut syif.

“Semalam (kelmarin) isteri saya keluar rumah kira-kira 7.30 malam dengan menaiki van disediakan majikan.

“Pagi tadi (semalam) saya dapat panggilan dari adik ipar kira-kira 11 pagi memaklumkan mengenai kejadian ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Rumah Mayat Hospital Port Dickson (HPD), semalam.

Rosmin redha dengan pemergian isterinya itu, bagaimanapun tidak menyangka isterinya akan meninggalkan dia dan keluarga dengan keadaan menyayat hati.

Menurutnya, semalam (kelmarin) isterinya juga ada menyatakan hasrat mahu kawasan luar bilik air rumahnya yang kini sedang diubah suai turut dipasang mozek.

“Itulah permintaan terakhir isteri saya. Malam itu, saya dan isteri sempat keluar makan malam  bersama di sebuah kedai," katanya yang merupakan seorang pesara tentera.

Jenazah Mek Siti Mera dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Kemang, di sini selepas solat Isyak, malam tadi.

Hasil perkahwinan dengan Rosmin, Mek Siti Mera meninggalkan empat orang anak  iaitu Khairul Emy, 33, Izham, 32, Dini Asyraf, 20, Shahir Azrin, 18, dan seorang anak angkat, Azwan Abdullah, 5.


Rakan tangisi pemergian

Pemergian Mek Siti Mera yang maut dalam kemalangan itu turut dirasai rakan-rakan baiknya.

Rohani Dollah, 42, berkata, dia terkilan kerana sepatutnya dia bertemu dengan arwah kira-kira 11 pagi semalam di rumahnya.

“Suami arwah mempelawa saya datang ke rumah pada 11 pagi untuk mengambil barang memandangkan rumahnya sedang diubah suai.

“Jam 11 pagi adalah waktu kebiasaan Mek Siti Mera sudah sampai rumah dari tempat kerja," katanya.

Sementara seorang lagi rakan baiknya, Endon Abdullah, 49, berkata, Mek Siti Mera merupakan seorang pekerja yang rajin dan sentiasa berusaha keras untuk menambah pendapatan keluarga.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tragedi-pulang-dari-kerja-1.87473


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my