loading...
Tuesday, September 25, 2012
Kemalangan Maut 3 Lori
Inalillahi wainailaihi rojiun
2012/09/25
IPOH: Seorang pemandu lori terbunuh manakala kelindannya cedera ringan apabila lori mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lagi lori di Km301 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kampar, pagi tadi.
Mangsa Shahir Mohd, 44, dari Taman Saujana, Bukit Katil, Melaka yang mengalami cedera parah di kepala meninggal di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.
Pegawai Turus Trafik Negeri, DSP Mohamad Roy Suhaimi berkata kejadian berlaku pada pukul 3.40 pagi ketika mangsa membawa muatan barangan runcit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Butterworth.
"Siasatan awal mendapati lori yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal lalu terbabas dan merempuh belakang lori di hadapannya dan pada masa yang sama sebuah lagi lori yang mengekori lori mangsa turut merempuhnya," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat manakala kelindan dan dua lagi pemandu lori cedera ringan dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.
Mohamad Roy berkata berikutan kejadian itu laluan di lebuh raya berkenaan mengalami kesesakan menghala ke utara selama lima jam dan keadaan pulih seperti biasa pada jam 9 pagi tadi.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, tiga orang terbunuh dalam kemalangan semalam, masing-masing satu di Lumut, Ipoh dan Gerik.
Beliau berkata dalam kejadian di Km82.4 Jalan Kuala Kangsar-Gerik, seorang penunggang terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta yang terbabas pada jam 7 petang.
Mangsa Mohd Khir Johari Mohd Salleh, 50, dari Kampung Tawai, Gerik yang mengalami cedera parah meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di hantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat, manakal pemandu kereta terbabit tidak mengalami kecederaan, katanya.
Dalam kejadian di Jalan Lumut-Teluk Batik, seorang pemandu terbunuh selepas keretanya terbabas dan merempuh tembok konkrit di tepi jalan.
Mangsa Abdullah Aziz Mohd Shariff, 70, berasal dari Kamung Sungai Wangi, Ayer Tawar yang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, katanya.
Sementara itu seorang wanita, Wan Norliani Wan Ali, 30, berasal dari Kampung Belukar, Kota Bharu, Kelantan terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang di tepi jalan.
Kejadian berlaku di Km263 lebuhraya Utara-Selatan dekat sini ketika mangsa dalam perjalanan dari Taiping ke Kuala Lumpur pada pukul 6.25 petang.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, kata Mohamad Roy. - Bernama
Sumber:
hmetro.com.my/articles/PemandulorimautdalamkemalangandiLebuhrayaUtara-Selatan/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment