loading...

Thursday, May 17, 2012

Kancil Diseret Treler 10 meter


SABAK BERNAM– Seorang pemuda maut selepas kereta Perodua Kancil yang dipandunya bertembung sebuah treler di Kilometer 62 Jalan Teluk Intan-Klang, dekat Parit Tujuh di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian itu sebuah treler muatan 400 unit TV LCD dari arah Sekinchan, masuk ke laluan bertentangan dan merempuh hadapan kereta mangsa.

Menurutnya, mangsa, Ng Chee Chang, 26, memandu berseorangan dari arah Sungai Besar menuju ke Sekinchan dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi berkenaan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, dipercayai, sebuah treler dari arah bertentangan yang dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Utara tiba-tiba masuk ke laluan mangsa menyebabkan berlaku pertembungan.

"Kereta yang dipandu mangsa kemudiannya terseret sejauh 10 meter sebelum terjunam ke dalam parit berhampiran yang dipenuhi air dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Difahamkan, mangsa yang tersepit berjaya di keluarkan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan kira-kira jam 7 pagi.

Mayat mangsa yang berasal dari Jalan Empat, Bagan Sungai Besar itu, dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah untuk bedah siasat dan sudah dituntut keluarganya untuk disemadikan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah mati lemas dan dipercayai mangsa turut mengalami kecederaan organ dalaman.

Manakala pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-32242222.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/kancil-diseret-10-meter-1.48732

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my