loading...

Tuesday, May 22, 2012

7 kenderaan terbabas



KEMAMAN – Sebanyak tujuh kenderaan terbabas di selekoh yang sama dalam tempoh tiga jam, hingga ada kenderaan yang terlingkup empat tayar ke atas.

Malah, ada kenderaan terhumban ke bawah tebing jalan dan masuk ke dalam parit akibat laluan di selekoh di situ yang dikorek serta diletakkan batu kisaran tetapi tidak diletakkan papan tanda amaran.

Persekitaran jalan yang berkabus juga menyebabkan pemandu yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu tidak menyedari jalan sepanjang hampir 200 meter di selekoh itu dalam proses pembaikan.

Kejadian berlaku antara jam 4.30 hingga 7.10 pagi kelmarin di Kilometer 147 Jalan Jerangau-Jabor, di Kampung Jenang Baru berhadapan Ladang Sawit TDM Bhd, dekat sini.

Tiada kemalangan maut dilaporkan

NAMUN, semua pemandu yang kebanyakanya pegawai dan pengurus ladang tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kenderaan masing-masing mengalami kerosakan teruk termasuk remuk di bahagian hadapan serta pecah cermin.

Kenderaan yang terlibat dalam nahas berkenaan membabitkan Nissan Frontier, Rexton, Toyota Hilux, Toyota Camry, Honda Jazz, Proton Waja dan Perodua Myvi.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4.30 pagi membabitkan kereta Honda Jazz yang dipandu pe-ngurus ladang yang gagal mengawal kenderaan apabila melalui selekoh berkabus berkenaan.

Ini diikuti dengan kejadian kedua kira-kira jam 5 pagi membabitkan Proton Waja yang terlingkup empat tayar ke atas sejurus terbabas.

Selang 1 jam 20 minit kemudian iaitu pada jam 6.20 pagi, pacuan empat roda Toyota Hilux yang dipandu pengurus ladang pula terlingkup disusuli 10 minit selepas itu, Nissan Frontier turut mengalami nasib sama selepas kenderaan gagal dikawal.

Malang turut menimpa pemandu Perodua Myvi yang turut melalui jalan ditambun batu itu apabila kira-kira jam 6.50 pagi kenderaan yang dinaikinya turut terbabas sebelum masuk ke dalam parit di tepi jalan, diikuti Toyota Camry yang terbabas pada jam 7 pagi serta Rexton pada jam 7.10 pagi.

Tiada papan tanda amaran

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, sebelum selekoh berkenaan iaitu dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu tidak diletakkan papan tanda dan hanya diletakkan kon di kawasan dikorek selain permukaan jalan juga tidak rata.

Sementara itu, menurut penduduk, Mohd Mokhtar Abd Rahman, 35, kerja naik taraf selekoh dilakukan kontraktor tiga hari sebelum nahas berlaku dan batu kisaran pula ditambun sehari sebelum kejadian.

“Sepatutnya papan tanda ama-ran di letakkan dalam jarak beberapa meter dari selekoh di kedua-dua arah untuk memaklumkan pengguna mengenai jalan yang dinaik taraf dan mengingatkan pemandu agar tidak memandu laju.

“Kontraktor perlulah lebih prihatin kerana ia membabitkan soal nyawa dan harta benda orang ramai,” katanya yang mengakui penduduk di kawasan sekitar gempar dengan kejadian tujuh kenderaan terbabas di selekoh sama itu yang tidak pernah terjadi sebelum ini.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/7-terbabas-dalam-3-jam-1.49938

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my