loading...

Saturday, March 3, 2012

Lihat Isteri Digilis 3 kali

Inalillahi wainailaihi rojiun

TANAH MERAH: Menyayat hati bagi seorang suami menyaksikan sendiri isterinya digilis kenderaan tiga kali ketika cuba melintas jalan untuk bersarapan bersama ahli rombongan persatuan surau dekat Masjid Kampung Panglima Bayu, di sini, pagi semalam.

Kejadian di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli pada jam 7 pagi itu menyebabkan pesara jururawat, Kamariah Osman, 63, terbunuh dalam keadaan ngeri apabila badannya hancur dengan kedua-dua kaki terputus akibat digilis kenderaan yang datang dari kedua-dua arah.


Suaminya, Yahya Ahmad, 66, yang turut rebah selepas kali pertama dirempuh sempat bangun dan menyelamatkan diri ke bahu jalan dalam keadaan cedera parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tanah Merah (HTM).

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan dirempuh dua kali oleh kereta dari arah Tanah Merah ke Jeli dan kali ketiga oleh sebuah lagi kenderaan dari arah bertentangan ketika berhenti di garisan kembar di tengah jalan bersama suaminya.


Menurut ahli jawatankuasa persatuan surau itu, Agil Mohamad, 74, rombongan seramai 36 orang itu ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan sebelum meneruskan perjalanan untuk beli-belah di Rantau Panjang.


Katanya, sebelum itu mereka sempat menunaikan solat Subuh bersama di masjid berhampiran.

“Saya cuma hairan apabila dia sekali lagi mengambil wuduk walaupun selesai solat Subuh. Ia menyebabkan mereka berdua tertinggal di belakang ketika kami ingin melintas ke kedai makan di seberang jalan,” katanya.


Katanya, rombongan persatuan surau dari Kemaman, Terengganu itu bertolak jam 12.30 tengah malam semalam dan tiba di masjid pada jam 5.30 pagi.

“Sebaik selesai solat Subuh, kami ingin bersarapan di kedai makan seberang jalan. Kamariah dan suaminya menyangka kami akan meneruskan perjalanan, menyebabkan mereka berdua menaiki bas semula.


“Menyedari ahli rombongan tiada dalam bas, mereka kemudian turun untuk melintas jalan. Kami yang berada di kedai makan tidak sedar kejadian itu sehingga terdengar jeritan orang ramai,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Supritendan Abd Aziz Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.


Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tidak dapat dikesan apabila melarikan diri sejurus kejadian.


“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Lihatisteridigilis/Article/artikelMA


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my