ALOR GAJAH - Pihak polis meminta saksi kejadian kemalangan membabitkan warga emas yang maut di persimpangan lampu isyarat, di Pengkalan, Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ), kelmarin tampil untuk bantu siasatan.
Ketika kejadian, mangsa yang masih sedarkan diri dipercayai dilanggar sebuah kenderan lain ketika dalam perjalanan ke Bandar Alor Gajah menaiki motosikal jenis Suzuki RC80.
Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu menyebabkan, Lee Lian Heng, 77, dari arah Machap Umboo ke Bandar Alor Gajah maut empat jam kemudian selepas dirempuh sebuah lori muatan satu tan dari arah belakang.
Menantu sulungnya, An Ai Yong, 50, ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka berkata, mangsa masih sedarkan diri sekitar jam 1.45 petang di wad kecemasan sempat bertemu dengannya dan seorang cucu.
“Semasa dimaklumkan berhubung kejadian, saya berada di tempat kerja di Machap Umboo dan bergegas pulang ke rumah sebelum ke Hospital Alor Gajah. Saya sangka bapa cuma cedera ringan.
“Sewaktu di hospital, bapa ada mengadu sakit di belakang badannya selain sesak nafas. Dia juga ada menceritakan yang dia dilanggar dari arah belakang,” katanya.
Menurutnya, ketika itu bapa mertuanya kelihatan stabil namun, tidak lama kemudian, doktor memberitahu bapanya itu perlu dirujuk ke Hospital Melaka berikutan keadaannya semakin kritikal.
“Saya terkejut apabila doktor memaklumkan keadaannya semakin kritikal dan tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah yang dialami,” katanya.
Katanya, pagi sebelum kejadian, bapa mentuanya sempat bersarapan bersamanya dan berbual seperti biasa sambil bergurau senda sebelum keluar ke Pekan Alor Gajah atas pelbagai urusan.
“Biarpun usianya semakin meningkat tapi bapa masih kuat dan mampu bekerja keras menyara sembilan ahli keluarganya.” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kemalangan terbabit.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dikatakan dilanggar dari arah belakang di persimpangan berkenaan oleh sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya kira-kira jam 10 pagi.
“Mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh orang awam sebelum dirujuk ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan atau Balai Polis Trafik Ibu pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah untuk membantu siasatan,” katanya.
Sumber: sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-dirempuh-lori-satu-tan-1.15516
No comments:
Post a Comment