loading...

Wednesday, September 11, 2013

Pelajar Sekolah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah Maut

Inalillahi wainailaihi rojiun

11 September 2013
KEPALA BATAS - Seorang calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) maut dilanggar kereta selepas motosikal yang dinaiki bersama kembarnya terbabas, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Keladi, Pinang Tunggal, di sini hari ini.
 
Kejadian berlaku jam 7.06 pagi ketika pasangan kembar itu Siti Mahirah dan Siti Masirah Mohd Said, 18, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah yang terletak 10 kilometer dari tempat kemalangan.
 
Siti Mahirah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala Siti Masirah yang menunggang motosikal itu mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas.
 
Menceritakan kejadian kepada Bernama ketika ditemui di hospital itu, Siti Masirah berkata, motosikalnya bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum mereka terbabas dan terjatuh di tengah jalan.
 
"Hujan tengah lebat tapi kami perlu ke sekolah kerana ada peperiksaan. Tiba-tiba sebuah kereta di hadapan kami membelok memasuki simpang tiga itu secara tiba-tiba menyebabkan saya terpaksa mengelak ke kanan dan bergesel dengan sebuah motosikal lain di lorong sama.
 
"Saya tidak dapat mengawal motosikal, menyebabkan kami terbabas dan terjatuh di tengah jalan. Saya terjatuh di sebelah kiri, Siti Mahirah di sebelah kanan. Ketika itu datang sebuah kereta dari arah bertentangan dan melanggarnya," kata gadis itu.
 
Katanya, dia yang bangun dan mencari kembarnya mendapati Siti Mahirah terperosok di bawah kereta itu.
 
Sementara itu suasana di pekarangan rumah mayat Hospital Kepala Batas diselubungi rasa sayu dan ibu mereka Asiah Saidin, 43, jatuh pengsan beberapa kali kerana terlalu sedih dengan kejadian.
 
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim yang  dihubungi mengesahkan kejadian. - Bernama

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/calon-stam-maut-nahas-ketika-ke-sekolah-1.200663



Maut Rempuh Treler Rosak



Inalillahi wainailaihi rojiun

11 September 2013
SLIM RIVER - Hasrat seorang pemandu lori menghantar bekalan makanan ke lokasi diminta majikan berakhir tragedi apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 386 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara), awal pagi semalam.


Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Othman Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.27 pagi itu, lori yang dipandu Shamsuri Mersuki, 37, yang berasal dari Shah Alam merempuh belakang sebuah treler rosak di lorong kiri lebuh raya.

Menurutnya, sebuah treler dipandu seorang lelaki bersama seorang pengawal keselamatan membawa muatan barang kesihatan dari arah sama dalam perjalanan dari Shah Alam ke Ipoh mengalami kerosakan enjin dan semua lampu tidak berfungsi kira-kira jam 5.22 pagi.

Katanya, pemandu terbabit kemudiannya dikatakan memegang tanda amaran pada jarak kira-kira 200 meter daripada treler sebagai langkah berhati-hati kepada pengguna lebuh raya lain.

“Namun begitu, lima minit kemudian, sebuah lori tiga tan dipandu mangsa dari arah sama melanggar belakang treler tersebut.

"Mangsa yang parah kepala dan seluruh badan meninggal dunia di tempat kejadian berikutan rempuhan itu," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Md Zin Mohd Saaidin berkata, panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit diterima kira-kira jam 5.52 pagi dan pasukannya tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Mangsa yang tersebut dikeluarkan dengan kekuatan seorang pegawai bersama 12 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim serta Tanjung Malim.

“Mangsa tersepit pada tempat duduknya dan kami terpaksa menggunakan kenderaan tunda sebelum berjaya mengeluarkan mangsa kira-kira jam 7.19 pagi,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/maut-rempuh-treler-rosak-1.200862




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my