loading...

Sunday, April 1, 2012

Remaja Maut Rempuh Pokok



SUNGAI PETANI – Keghairahan dan keseronokan dua remaja yang memandu pada awal pagi semalam mengundang padah apabila terlibat dalam kemalangan maut yang mengorbankan seorang daripada mangsa.

Kemalangan berlaku ketika mangsa melalui Jalan Badlishah dekat hospital lama dalam perjalanan dari arah Sungai Petani ke Butterworth kira-kira jam 3.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, mangsa, Ng Chong Pei, 18, maut di tempat kejadian manakala rakannya cedera parah di bahagian kaki.

Menurutnya, dalam kejadian awal pagi itu, mangsa yang menaiki kenderaan jenis Honda Accord melanggar sebatang pokok besar yang terletak tepi jalan berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, Chong Pei yang memandu kenderaan itu tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan maut di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal kenderaan dipandunya sebelum terbabas ke tepi jalan.

Sumber
sinarharian.com.my/edisi/utara/remaja-maut-langgar-pokok-1.36571

Maut putus 2



ALOR GAJAH - Sebuah kereta dinaiki dua beradik putus dua selepas terbabit delam kemalangan di Lebuh Alor Gajah - Melaka - Jasin (AMJ) Rembia, berhadapan Taman Rembia Perkasa, di sini malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa, Soo Yong Sen dan adik perempuannya, Soo May Zina, kedua-dua berusia sekitar 20-an, cedera parah.

Kejadian berlaku apabila kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Melaka hilang kawalan, lalu terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta jenis Honda Civic.

Sementara pemandu Honda Civic, Salehuddin Ishak, 42, bersama anaknya, Safahaziq Salehuddin, 12, bagaimanapun terselamat dengan bantuan beg udara dalam kenderaan yang dinaiki mereka.

Saksi kejadian, Azlisham Ismail, 34, berkata, ketika kejadian dia berada di rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter.

“Saya berlari naik ke tebing jalanraya selepas terdengar bunyi dentuman kuat. Saya lihat Proton Iswara tadi sudah terputus dua antara bahagian enjin dengan badan kereta.

“Manakala, dua remaja tadi sudah tercampak ke tengah jalanraya berdekatan bahagian badan kereta dinaiki mereka,” katanya.

Azlisham berkata, remaja perempuan berkenaan meraung kesakitan, manakala abangnya dilihat terbaring berdekatan.

“Beberapa orang awam dan pengguna jalanraya berhenti membantu mengangkat kedua mangsa ke atas rumput pembahagi lebuh AMJ itu,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.

Azlisham berkata, kedua beradik itu kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan.

Sementara itu, katanya, dua beranak masih berada dalam Honda Civic dengan tali pinggang keledar masih terpasang dan diselamatkan dengan beg udara.

“Saya bergegas mendapatkan dua beranak tadi yang hanya mendiamkan diri. Bagaimanapun, kedua-duanya mampu berjalan sambil dibantu beberapa orang ramai menumpang berehat di rumah seorang penduduk berdekatan,” katanya.

Menurutnya, kedua beranak itu kemudian dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk pemeriksaan.

Sementara itu, Salehuddin ketika ditemui di Hospital Alor Gajah berkata, dia dalam perjalanan pulang dari Bukit Rambai menuju ke Tol Simpang Ampat untuk pulang bertemu isterinya di Kuala Lumpur.

Dia yang bekerja sebagai ahli perniagaan berkata, kejadian berlaku sekelip mata, bagaimanapun bersyukur kerana terselamat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kereta-bertembung-putus-dua-1.36568

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my