loading...
Monday, July 15, 2013
1 maut 3 parah bertembung lori
Inalillahi wainailaihi rojiun
15 Julai 2013
MACHANG - Seorang maut dan tiga yang lain cedera parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Machang -Pasir Puteh, di sini pada jam 11.30 pagi kelmarin.
Mangsa maut, Anis Syafiqah Harun, 14, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia pada jam 11 malam, kelmarin selepas hampir 12 jam mendapatkan rawatan.
Tiga mangsa yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama manakala pemandu lori yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Machang, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot berkata, Anis Syafiqah yang duduk di bahagian penumpang belakang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Katanya, kemalangan di Kilometer 4.7 Jalan Machang- Pasir Puteh itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah lori yang dipandu seorang pemuda.
Menurutnya, MPV yang dipandu wanita itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Kedah sebelum bertembung dengan sebuah lori berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah 2, dekat sini.
“Rempuhan kuat tersebut menyebabkan MPV tersebut mengalami kerosakan teruk di bahagian pemandu dan mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat Machang.
“Lori yang dalam perjalanan dari arah Machang Pasir Puteh itu dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV itu. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/seorang-maut-3-cedera-parah-1.182512
Warga emas parah bertembung pacuan empat roda
15 Julai 2013
KUPANG - Seorang warga emas parah dalam kejadian kemalangan di Jalan Padang, Kuala Pegang, kira-kira jam 2 petang, semalam.
Mangsa, Ali Md Hassan, 72, dari Kampung Charuk Gorok cedera di beberapa anggota badan setelah kenderaannya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, mangsa dalam perjalanan dari Sungai Petani ke Grik.
Menurutnya, ketika melalui jalan itu, mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.
“Keadaan itu mengakibatkan kenderaan mangsa remuk dan mangsa tersepit,” katanya.
Mat Daud berkata, mangsa berjaya dikeluarkan selepas beberapa minit oleh anggota bomba.
Pemandu kenderaan lain itu dilaporkan hanya cedera ringan.
Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Baling untuk menerima rawatan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/warga-emas-parah-kemalangan-1.182704
Subscribe to:
Posts (Atom)




