loading...

Tuesday, February 12, 2013

Kasut terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

12 Februari 2013
TAMPIN - Seorang Pembantu Perubatan Klinik Kesihatan Gemas, maut selepas Proton Persona dipandunya terbabas sebelum terhumban ke anak sungai di Jalan Pondoi, Tebong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa, Mohd Izwan Ismail, 27, dalam perjalanan ke tempat kerja dari kediaman mertuanya di Bandar Seri Sendayan.

Kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum merempuh pengadang jalan kemudian terseret ke dalam semak dan terhumban ke dalam anak sungai.

Menurut sumber, mangsa yang baru lima bulan bekerja di klinik kesihatan berkenaan, ditemui orang awam yang melalui jalan itu selepas terdengar bunyi radio dipasang kuat.

Jelasnya, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan orang awam menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Tiba-tiba jadi pendiam, sering cakap pasal kemalangan

Adik bongsu mangsa, Zulaika Ismail, 17, berkata, abangnya yang juga anak tunggal lelaki itu seorang yang ceria, namun berubah sikap beberapa hari sebelum kejadian apabila gemar mendiamkan diri dan meluangkan lebih masa dengan anaknya.

Menurutnya, selain itu, sehari sebelum kejadian, arwah dan isteri, Siti Noorazeyan Mohd Safian, 27, mengajaknya dan sepupu bersama anak mereka, Muhammad Izzat, dua bulan, bersiar-siar di Kuala Lumpur.

“Semasa dalam perjalanan di sekitar Nilai, kami berselisih dengan sebuah kemalangan membabitkan kereta dan arwah tidak putus-putus bercakap tentang insiden itu hingga ditegur kakak ipar namun tidak diendahkannya.

“Arwah kelihatan lebih pendiam tidak seperti biasa, malah sempat belanja kami makan di sebuah pusat membeli belah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Tampin, semalam.

Zulaika berkata, lebih menyedihkan apabila kejadian itu berlaku ketika ibu bapa mereka, Ismail Hamzah, 57, dan Zunaidah Mustafa, 53, berada di Mekah mengerjakan umrah dan baru sahaja bertolak ke sana, Jumaat lalu.

Tambahnya, arwah sempat berpesan supaya dia belajar bersungguh-sungguh dan sempat membeli sepasang kasut untuk dirinya sendiri.

“Arwah tiba-tiba berseloroh mengatakan itulah kali terakhir dia membeli kasut, namun ketika itu saya langsung tidak berasa curiga,” katanya lagi.


Kereta mangsa terbalik

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Pegawai Bomba Kanan 2, Eslizan Nurhan Armin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.32 pagi dan bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati kereta mangsa dalam keadaan terbalik selepas terjunam ke dalam sungai yang jaraknya dengan jalan dianggarkan lebih 10 meter.

“Dengan kekuatan lima anggota, mayat mangsa yang ditemui lengkap berpakaian kerja dengan keadaan kakinya yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan dan dibawa ke bahu jalan dalam masa kira-kira 10 minit,” katanya, semalam.

Sinar Harian turut difahamkan, berdasarkan kondisi mayat, mangsa dipercayai terbabit nahas beberapa jam sebelum keretanya ditemui orang awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin, mengesahkan kemalangan tersebut dan mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tampin untuk bedah siasat.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/kali-terakhir-abang-beli-kasut-1.130361


Nahas empat kereta



12 Februari 2013
KERTEH – “Saya hanya mampu mengucap ketika kereta berpusing,” kata juruteknik, Mohd Fathi Akma Che Ghani, 23, yang terlibat dalam nahas melibatkan empat kenderaan di Kilometer 117, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat jambatan Rantau Petronas, di sini semalam.

Bagaimanapun, kesemua pemandu dan penumpang kereta berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, Mohd Fathi dan tunangnya, Rohaida Razali, 22, dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Mesra Mall, Kemasik sebelum secara tiba-tiba kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas lalu berpusing dan merempuh penghadang jalan besi semasa melalui lokasi kejadian.

Akibatnya, kereta yang dipandunya remuk teruk dengan beberapa komponen enjin dan tayar hadapan sebelah kanan tercabut.

Selang 20 minit kemudian, di lokasi sama, sebuah Proton Persona yang pada asalnya melalui lorong kiri dan difahamkan cuba menukar lorong ke kanan dirempuh Proton Saga yang berada di lorong kanan di belakangnya.

Gara-gara itu, sebuah Nissan Livina yang berada di belakang Proton Saga cuba mengelak lalu terbabas ke tengah jalan dan merempuh pembahagi jambatan.

Mohd Fathi berkata, ketika kejadian, dia hanya memandu pada kelajuan 60 kilometer sejam dan sebelum melewati jambatan, keretanya hilang kawalan kerana permukaan jalan berminyak.

“Namun, saya amat bersyukur kerana saya dan tunang selamat,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat kontraktor di Cheras, Selangor dan datang bercuti menziarahi keluarga tunangnya di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan berkenaan.

Berikutan itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati memandu terutama dalam keadaan jalan agak sibuk ketika ini kerana orang ramai yang pulang bercuti di kampung sempena cuti umum Tahun Baru Cina kembali ke rumah masing-masing.

“Sikap waspada orang ramai akan mengelakkan berlakunya kemalangan dan dapat mengelakkan kehilangan nyawa. Ingatlah orang yang tersayang,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/nahas-babit-empat-kereta-1.130376


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my