loading...
Sunday, January 6, 2013
Kemalangan kereta Proton Wira dan Toyota Corolla
7 Januari 2013
KUALA ROMPIN – Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Johor Bharu berdekatan Janglau di sini, jam 7.30 malam Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki terlanggar bahagian tepi kiri lori yang berada di hadapannya.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira yang dalam perjalanan dari Tanjung Gemok ke Rompin berpusing beberapa kali sebelum masuk ke lorong bertentangan.
“Pemandu Proton Wira gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian tepi kanan sebuah Toyota Corolla SEG dari arah bertentangan," katanya.
Johari berkata, penumpang Toyota Corolla SEG, Zarina Omar, 41, cedera di bahagian kepala selain luka di dahi dan pipi manakala suami, Zulikifli Mat Yusof, 46, dan seorang anaknya cedera ringan.
“Mangsa dirawat di Klinik Kesihatan Rompin sebelum dipindahkan ke Hospital Muadzam Shah," katanya.
Kata Johari, dua lagi penumpang Toyota Corolla dan pemandu Proton Wira yang bekerja sebagai penjaga bot di Jeti Tanjung Gemok, Pun Tiang Sang, 51, tidak mengalami kecederaan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/suami-isteri-nyaris-maut-1.118687
Bas Ekspres Terbakar
7 Januari 2013
KUALA KANGSAR – Situasi panik menyelubungi 20 penumpang bas persiaran apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar di Kilometer (KM) 231.4 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Bukit Berapit, di sini, semalam.
Kejadian berlaku sewaktu bas yang dinaiki penumpang terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Hatyai, Thailand.
Insiden berkenaan berlaku pada kira-kira jam 1.20 petang dan disedari pemandu bas selepas melihat asap tebal di bahagian belakang kenderaan dan telah mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Shamsudin Abd Karim berkata, kebakaran itu menyebabkan bas persiaran dua tingkat milik Syarikat Konsortium Bas Ekspres Sdn Bhd itu musnah keseluruhannya.
“Mereka memulakan perjalanan dari Johor malam. Pemandu itu menyedari kebakaran itu setelah melihat asap tebal keluar dari bahagian belakang bas yang menempatkan enjin.
“Menyedari keadaan itu, pemandu terbabit segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan kesemua penumpang turun,” katanya.
Menurutnya, dua jentera dan 13 anggota termasuk pegawai dari Kuala Kangsar dan Taiping dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dalam tempoh 15 minit.
“Bas tersebut terbakar 70 peratus dan kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian belum dianggarkan,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/panik-bas-dinaiki-terbakar-1.118708
Subscribe to:
Posts (Atom)




