loading...

Sunday, December 23, 2012

4 rentung kemalangan bas-kereta di Kemaman

kemalangan bas-kereta rentung di kemaman


Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Disember 2012
KEMAMAN - Empat mangsa dari satu keluarga rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di depan IKBN Kemasik di sini kira-kira jam 1 pagi tadi.


Kesemua empat mangsa yang rentung merupakan pemandu kereta dan tiga penumpangnya.

Pemandu yang terbunuh dikenali sebagai Sabiren Sulaiman, 45; dari Batu Pahat, Johor; isterinya, Halina Said, 40; dan dua anak mereka Siti Khalijah, 12 dan Siti Aishah.



Mohd Sabiren merupakan seorang guru.

Dalam pada itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa dipetik Bernama berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, keempat-empat beranak itu terperangkap di dalam kereta Kia Sephia yang mereka naiki, mengakibatkan kereta itu terbakar dan seterusnya membakar bas ekspres terbabit yang dinaiki lapan penumpang.

Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki keluarga terbabit dari arah Kuantan menghala ke Dungun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh bas berkenaan.

Beliau berkata, kereta itu bertembung dengan bas ekspres dari Kota Baharu, Kelantan menuju ke Melaka sebelum kereta itu diseret bas ekspres kira-kira 30 meter sehingga ke kaki lima jalan.



"Pertembungan itu mengakibatkan kereta yang dinaiki keluarga malang itu terbakar sebelum api menyambar dan membakar hampir keseluruhan bas ekspres," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Empat beranak itu dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur ke Dungun selepas menghantar anaknya menyertai pertandingan catur.

Beliau berkata Mohd Sabirin merupakan seorang guru bahasa Jepun dan mengajar di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah, Dungun dan keluarga itu tinggal di Jalan Tok Mudim, Batu 5 Dungun.

"Ketika kejadian hujan renyai-renyai dan mungkin jalan licin menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan. Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

"Saya mengingatkan orang ramai agar berhati-hati ketika memandu di musim hujan ini berikutan jalan licin dan jalan berlopak. Ini kerana dalam tempoh dua minggu ini, dua hingga tiga kes maut dicatatkan disebabkan faktor itu," katanya.

Mayat Mohd Sabiren yang pertama dibawa keluar disusuli Siti Aisyah yang rentung keseluruhan badan, diikuti Halina yang rentung sehingga ke paras pinggang dan yang terakhir Siti Khatijah yang rentung keseluruhan badannya.

Sementara itu, pemandu serta lapan penumpang bas ekspres itu mengalami cedera ringan termasuk seorang yang patah kaki ketika cuba menyelamatkan diri sebelum bas tersebut terbakar.

Seorang penumpang Wan Mohd Al-hakim Wan Yusoff, 27, berkata semasa kejadian dia baru sahaja hendak tidur selepas berbalas khidmat pesanan ringkas bersama rakannya.

Namun tiba-tiba dia terasa bas terbabas ke kiri jalan dan terdengar dentuman kuat serta jeritan meminta tolong dari luar bas.

"Saya terjaga dan nampak kereta telah melanggar bas yang saya naiki selain itu saya turut mendengar jeritan dari luar bas namun saya tidak berani nak tengok dan lihat api dari depan bas.

"Masa itu hanya fikir nak selamatkan anak saya Wan Mohd Adam Al-Haqq dan saya mencari anak yang jatuh dari tempat duduk dan terlihat kepulan asap di dalam bas," katanya.

Wan Mohd Al-hakim berkata kesemua penumpang cuba menyelamatkan diri namun gagal kerana pintu berkunci sebelum seorang daripada penumpang memecahkan pintu utama untuk membolehkan mereka keluar.

Akibat kejadian itu dia mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan punggung manakala seorang lagi penumpang Mohd Faiz Sulihan, 23, patah kaki kiri dan menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Sabirin Sulaiman, 50, Halina Saif @ Saib, 40, Siti Aisyah Sabirin, 14, dan Siti Khadijah Sabirin, 12
 Empat sekeluarga (dari kiri) Sabirin Sulaiman, 50, Halina Saif @ Saib, 40, Siti Aisyah Sabirin, 14, dan Siti Khadijah Sabirin, 12, maut dalam kemalangan jalan raya

Saksi

CHUKAI: “Sangat menyayat hati melihat keadaan semua mangsa yang rentung, termasuk hancur seluruh badan, malah ada sebahagian cebisan daging yang terbakar melekat dalam kereta,” kata saksi kejadian empat beranak terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta bertembung sebuah bas ekspres di Kilometer 126.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik, awal pagi semalam.


Wan Mohd Faiz Wan Ahmad, 27, yang dalam perjalanan ke Kemaman berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, dia bersama rakannya cuba menyelamatkan mangsa, namun tidak berupaya memandangkan api marak membakar kedua-dua kenderaan.

“Saya menghubungi bomba, tetapi tidak berani mendekati tempat kejadian kerana bimbang kedua-dua kenderaan itu meletup,” katanya menganggap kemalangan itu paling ngeri yang pernah dilihatnya.

Dia yang ditemui di tempat kejadian berkata, selepas kebakaran dipadamkan keseluruhannya oleh anggota bomba, dia terkejut dan sedih apabila dimaklumkan empat beranak rentung dalam kenderaan itu.

Penumpang bas ekspres itu, Wan Mohd Al-Hakim Wan Yusoff, 27, berkata, dia sempat mendengar seorang penumpang dalam kereta yang terbakar itu menjerit meminta tolong sebelum mengetahui empat beranak rentung di dalamnya.



Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/4-rentung-kemalangan-bas-kereta-di-kemaman-1.114742
hmetro.com.my/articles/Keretarentunglanggarbasekspres/Article/artikelMA
ntv7.com.my/7edition/local-en/MAUT_KEMAMAN.html
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121224/je_01/4-beranak-rentung-nahas


Anggota tentera Kem Mahkota maut


Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Disember 2012
 ALOR GAJAH - Seorang anggota tentera dari Kem Mahkota, Kluang, Johor, maut selepas motosikal Yamaha 125Z yang ditunggang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 203.8, Lebuhraya Plus arah utara, di sini, tengah malam semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah malam itu, mangsa, Saiful Ramli, 22, yang datang dari arah Muar, Johor menuju ke Seremban merempuh belakang sebuah kereta sebelum tercampak ke tengah jalan lalu dilanggar kenderaan lain.

Sumber polis berkata, kejadian disedari seorang pemandu lori yang ketika itu sedang melalui jalan berkenaan dan ternampak objek di laluan kiri yang disangkanya bangkai haiwan.

“Pemandu itu yang dalam perjalanan menghantar perkakasan elektronik ke Pulau Pinang kemudian menyedari objek tersebut adalah tubuh manusia. Dia segera hentikan lori di tepi lebuh raya dan cuba membantu mengawal lalu lintas.

“Dia juga menghubungi khidmat lebuh raya sambil memerhatikan mayat itu dari jauh berharap ia tidak akan dilanggar lagi oleh kenderaan lain,” kata sumber polis berkenaan.

Menurut sumber polis itu lagi, cebisan daging mangsa juga bertaburan atas jalan raya kerana dipercayai terseret kira-kira 60 meter dari motosikalnya. Badan mangsa dalam keadaan separuh hancur.

“Mayat mangsa yang terseret di laluan kiri mengakibatkan banyak kenderaan hampir hilang kawalan untuk mengelak,” katanya.

Sumber polis berkata, sementara menunggu bantuan kecemasan, orang awam yang memberhentikan kenderaan di tepi lebuh raya juga terpaksa menggunakan lampu suluh dan memberi isyarat kepada pengguna lain agar tidak merempuh mayat mangsa.

Arwah berubah jadi pendiam

Sementara itu rakan mangsa, Mohd Fadli Shafie, 22, berkata, sebelum tragedi itu berlaku, dia sempat menghantar Saiful pulang ke rumah kedua ibu bapanya di Sungai Mati, Muar kira-kira jam 6 petang dari Kem Mahkota.

“Semasa saya menghantarnya pulang ke rumah, arwah tidak seperti biasa yang suka berlawak dengan saya. Dia hanya menjawab apabila saya bertanya.

“Bagaimanapun dia ada beritahu saya tentang hajatnya hendak keluarkan wang bonus Januari ini untuk diberikan kepada ibu dan ayah agar mereka dapat bina sebuah lagi rumah," katanya.

Mohd Fadli yang mengenali Saiful sejak mula memasuki khidmat tentera empat tahun lalu berkata, arwah ada memberitahunya hendak ke Melaka pada sebelah malam namun tidak tahu tujuannya hingga menerima berita tidak disangka-sangka itu.

“Sekarang arwah sedang menjalani kursus dalam kem selama empat bulan hingga pertengahan Januari namun tidak sempat menamatkannya. Arwah juga rajin pulang ke kampung pada setiap hujung minggu,” katanya.

Sempat borak dengan anak

Bapa mangsa, Ramli Ibrahim, 50, memberitahu Sinar Harian, dia juga sempat berborak anak ketiganya itu sebelum arwah keluar kira-kira jam 10 malam.

“Arwah beritahu hendak ke Seremban berjumpa rakannya dan sudah menjadi kebiasaan dia keluar pada waktu malam dan pulang pagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat sekiranya punca kemalangan itu turut membabitkan kenderaan lain.

“Polis sedang mengenal pasti sekiranya ada kenderaan lain yang terlibat hingga mengakibatkan kemalangan maut itu berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Cawangan Trafik Daerah, 06-5562222 atau datang ke balai bagi membantu siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tubuh-manusia-disangka-bangkai-1.114757


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my