loading...

Tuesday, September 4, 2012

Tak sempat melancong ke Indonesia


Inalillahi wainailaihi rojiun  

 KUANTAN - Hasrat seorang pekerja am rendah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk melancong ke Indonesia bersama rakan setugas  tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Pintasan KuantanPelabuhan, berhampiran Sungai Karang Darat, dekat sini, pagi semalam.

Dalam nahas kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Wan Rohaini Wan Ishak, 54, yang dalam perjalanan dari rumahnya di Indera Mahkota 1 ke tempat kerja di Balok disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai  bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda lalu terjatuh menyebabkan dia tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Adik tiri mangsa, Norizan Mamat, 43, berkata, dia mendengar arwah bercakap tentang rancangannya untuk melancong ke Indonesia bersama rakan sekerja sebelum turun dari rumah untuk ke tempat kerja, pagi semalam.

Menurutnya, dia dimaklumkan bahawa mangsa sepatutnya berangkat ke Indonesia pada 9 September ini bagi mengikuti kunjungan bersama kakitangan MPK melalui inisiatif Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) dan difahamkan tiket penerbangan ke sana juga sudah dibeli pihak berkenaan.

“Sebelum arwah keluar ke tempat kerja pagi tadi (semalam), saya ada mendengar dia bercakap dengan suami di luar rumah meminta kami mengeluarkan wangnya dalam akaun sebanyak RM1,000 untuk dibawa ke Indonesia namun saya tidak sempat menemuinya ketika itu,” katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, semalam.

Norizan berkata, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas diberitahu oleh seorang rakan sekerja kakaknya itu yang datang rumah namun tidak  dimaklumkan mengenai keadaan mangsa ketika itu.

“Saya terkejut apabila diberitahu bahawa arwah sudah tiada sejurus tiba di rumah mayat HTAA. Walaupun terkilan dengan kejadian yang menimpanya namun kami tetap reda.

“Arwah seorang yang sangat ramah dan periang justeru disenangi semua ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd jasmani Yusoff ketika dihubungi pemberita petang semalam mengesahkan menerima laporan berhubung nahas tersebut.

Menurutnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan polis.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/hasrat-mahu-melancong-terkubur-1.81608


Monday, September 3, 2012

Pemandu Lori Pitam


AYER KEROH –Akibat pitam ketika memandu, seorang pemandu lori gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang sebuah kereta yang sedang menunggu giliran mengambil tiket di Plaza Tol Ayer Keroh, di sini, petang kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira 4.30 petang itu, Mat Rashid Sahid, 58, dalam perjalanan ke Klang, merempuh belakang kereta jenis Proton Waja. Menurut anak lelaki pemandu lori berkenaan, Hafizul Hafiz, 26, yang kebetulan berada di negeri ini berkata, bapanya dalam perjalanan pulang selepas selesai menghantar makanan ternakan di Bandaraya Melaka.

“Saya baru pulang dari menghadiri satu majlis perkahwinan di bandar Melaka dan tiba-tiba mendapat panggilan dari ayah, mengatakan dia mengalami pitam dan telah melanggar sebuah kereta di Plaza Tol Ayer Keroh.

“Sebaik saya tiba di tempat kejadian, saya mendapati ayah dalam keadaan lemah dan kepalanya tertangkup di stereng lori,” katanya.

Berikutan kejadian itu, Mat Rashid terpaksa dipapah keluar anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dihantar ke Hospital Melaka, di sini untuk menerima rawatan.

Sementara itu, pemandu Proton Waja terbabit, Mohamad Har Md. Ali, 53. berkata, dia dalam perjalanan untuk menghantar anak perempuannya ke sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Serdang, Selangor.

Menurut Mohamad Har, kejadian itu menyebabkan kenderaan miliknya remuk di bahagian belakang dan hadapan kerana turut melanggar sebuah lagi lori seberat satu tan di hadapan.

Bagaimanapun, katanya, beliau bernasib baik apabila isterinya, Hamlah Haron, 49, dan tiga anak berusia 9, 11 dan 19 tahun yang turut berada di dalam kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/akibat-pitam-ketika-memandu-pemandu-lori-rempuh-kereta-1.81245


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my