loading...

Sunday, July 8, 2012

Abang Melambung Bertembung Hilux



LIPIS - “Dari jarak kira-kira 50 meter di hadapan, saya lihat motosikal yang ditunggang abang, Romzi Yok Las, 21, bersama seorang adik kami, Amir Yok Bek, 15, bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dan Romzi melambung ke udara sebelum terhempas ke permukaan jalan.”

Demikian kata Junid Yok Bek, 18, yang menyaksikan kemalangan membabitkan ahli keluarganya sehingga meragut satu nyawa di Felda Sungai Koyan Satu, malam kelmarin.

Menurutnya, sebelum kejadian malang itu, mereka tujuh bersaudara sedang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Gahai ke Pos Senderut.

“Kami pergi ke Tanjung Gahai untuk mengambil kakak dengan menaiki empat motosikal dan ketika pulang Romzi bersama Amir berada di hadapan dengan menaiki sebuah motosikal jenis Suzuki.

“Ketika sampai di satu selekoh berhampiran Kuarters Guru Koyan Satu, saya lihat motosikal dinaiki Romzi dan Amir bertembung dengan sebuah Hilux dipandu seorang lelaki,” katanya, kelmarin.

Junid berkata, dia bersama empat saudaranya yang lain terus memberhentikan motosikal masing-masing untuk membantu Romzi dan Amir.

“Saya memangku tubuh abang, namun dia tidak memberi apa-apa tindak balas sementara Amir meraung kesakitan,” katanya.

Pemandu Toyota Hilux, Mohamad Nazarudin, Ali, 39, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari mengambil barang elektrik dari kedai miliknya di Bazar Mara Sungai Koyan.

“Saya dalam perjalanan pulang ke Lipis. Ketika sampai di tempat kejadian tiba-tiba muncul motosikal tanpa lampu yang ditunggang dua remaja.

“Saya tidak sempat mengelak dan motosikal terbabit menghentam kuat depan kenderaan saya membuatkan saya tergamam seketika. Selepas itu saya terus hubungi rakan dan polis untuk melaporkan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 1 Jalan Lipis-Sungai Koyan kira-kira jam 8.05 malam, kelmarin.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/abang-melambung-depan-mata-1.64541

Pelajar Universiti Teknologi Petronas Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun    

KUALA KUBU BHARU - "Arwah sempat ucap selamat hari jadi kepada ibunya sebelum pergi buat selamanya." Demikian menurut Sarjan Abdullah Ahmad, bapa kepada Allahyarham Affiffi Emara Abdullah, 21, yang maut setelah terbabit kemalangan di Kilometer 414.1 Lebuh Raya Utara Selatan dekat sini awal pagi tadi.

Abdullah, yang bertugas di ibu pejabat polis di Bukit Aman berkata, anak sulungnya itu baru saja pulang daripada meraikan sambutan ulang tahun hari kelahiran ibunya di Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum kemalangan kira-kira jam 2 pagi yang meragut nyawanya.

Menurutnya, Affiffi, penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Petronas (UTP), dalam perjalanan ke kampus bersama tiga rakannya dan pulang lebih awal kerana mahu menyempurnakan tugasan.

"Ketika dalam perjalanan, kira-kira jam 12.08 tengah malam, arwah menghubungi ibunya dan menyanyikan lagu selamat hari jadi.

"Kami memang tak merasakan apa-apa yang ganjil padanya kerana keceriaan seperti itu sudah menjadi kebiasaan kami sekeluarga dan dia dengan kami macam kawan, tetapi ALLAH lebih menyayanginya dan selang beberapa jam kami terima panggilan mengatakan dia terlibat kemalangan," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu di sini.

Abdullah berkata, Affiffi juga sempat bermanja dengan ibunya pada malam kejadian di mana dia meminta ibunya memotong kukunya.

Menurutnya, walaupun ditegah arwah tetap mahu memotong kuku dan detik mesra itu menjadi kenangan akhir buat keluarga.

Sementara itu, rakan Allahyarham, Muhammad Azim Sufian, 21, yang turut cedera dalam kemalangan berkata, mereka meneruskan perjalanan walaupun hujan.

Katanya, setibanya di tempat kejadian kereta dinaiki terkena lopak air dan gagal dikawal lalu berputar-putar sebelum terbabas dan merempuh pengadang besi lebuh raya.

"Kenderaan memang tak dapat dikawal dan lopak air itu seakan tiada penghujung menyebabkan ia sukar dikawal.

"Kenderaan kami berputar beberapa kali sebelum terbabas secara bertentangan," katanya yang duduk di sebelah pemandu.

Menurutnya, arwah yang duduk di tempat duduk penumpang sebelah kiri cedera parah akibat terkena besi pengadang yang menembusi kenderaan dinaiki.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/pelajar-utp-maut-selepas-sambut-hari-jadi-ibu-1.64704

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my