loading...

Monday, April 9, 2012

Rempuh tembok jambatan


KLEBANG - Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta dipandunya terbabas, lalu melanggar tembok jambatan sebuah parit di Jalan Klebang Besar dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi itu, kereta jenis Perodua Viva yang dipandu lelaki berusia 30-an dari arah pusat bandaraya menuju Tanjung Kling terbabas, selepas melalui persimpangan lampu isyarat Klebang Besar dan Batang Tiga, di sini.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Izzat dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar tembok, menyebabkan bahagian hadapan kereta remuk dan mangsa tersepit.

Pemangku Komander Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Jamian Saleh berkata, pihaknya menerima panggilan pada 4.56 pagi dan tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian.

“Mangsa tersepit di bahagian pemandu bagaimanapun berjaya dikeluarkan orang awam semasa kami tiba di tempat kejadian.

“Dengan bantuan tujuh anggota termasuk seorang pegawai, mangsa yang cedera di kepala dan patah kaki kanan diberi prarawatan sebelum ambulans datang 20 minit selepas itu,” katanya di sini, semalam.

Jamian berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan ke rumahnya di Tanjung Kling menaiki kenderaan bersama seorang rakan lelaki berusia 30- an, bagaimanapun rakannya selamat dan hanya mengalami kecederaan kecil.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/mangsa-tersepit-kereta-nyaris-maut-1.38617


Berpunca Lori Rosak



BUKIT TANGGA - Kerosakan sebuah lori yang sarat dengan muatan getah sekerap menjadi punca berlakunya kemalangan di Bukit Tangga, kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Seorang saksi kejadian, R Pupathy, 26, berkata, lori berkenaan dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuala Klawang bagi menghantar getah sekerap.

“Semasa menaiki bukit, lori ini mengalami kerosakan enjin dan pemandunya tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Ketika itu, pemandu lori berkenaan mengundur ke belakang sebelum terlanggar sebuah lagi lori yang juga membuat muatan getah sekerap. Kedua-dua pemandu lori gagal mengawal kenderaan dan terbalik di atas jalan raya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Ramon Frederick, 18, berkata selain dua lori, kemalangan itu turut membabitkan sebuah kereta jenis Proton.

“Kereta ini berada di belakang lori kedua-dua berkenaan dan juga dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang.

“Semasa perlanggaran antara lori pertama dan kedua, kereta di belakang lori berkenaan cuba mengelak daripada dilanggar dan terbabas di bahu jalan,” katanya.

Katanya, kesemua pemandu lori dan kereta tidak mengalami kecederaan dan kejadian itu menyebabkan lalu lintas di Bukit Tangga sesak selama tiga jam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan berkenaan adalah selekoh tajam dan kemalangan itu yang keempat berlaku di sini.

Sebelum ini, tiga lori yang membawa muatan pasir dan kayu balak pernah terbabas di lokasi sama. Namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/enjin-rosak-punca-kemalangan-1.38653


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my