loading...

Monday, February 6, 2012

1 Maut Brek Bas Rosak

PELABUHAN KLANG - “Sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi, saya nekad memandu bas menghala semak demi mengelak banyak nyawa penumpang dan pemandu kenderaan lain terkorban,” demikian cerita pemandu bas kilang, Ahmad Ali, 51, berkenaan detik-detik kemalangan maut membabitkan bas dipandunya hingga meragut satu nyawa penumpang.

Menurutnya, pada mulanya, dia ingin membelok bas ke kiri jalan menghala Pandamaran, namun khuatir bas akan melanggar beberapa kenderaan yang sedang berhenti di simpang tiga lampu isyarat.

“Dalam fikiran saya, jika bas melanggar kenderaan tersebut pasti lebih banyak nyawa akan melayang, lalu saya nekad memegang stereng menuju semak sebelum melanggar sebatang pokok dan paip air.

“Saya sangka keputusan itu dapat menyelamatkan semua penumpang dan pemandu kenderaan lain termasuk penumpang dalam bas saya, namun sebaliknya berlaku apabila seorang penumpang bas yang saya bawa pula maut.

“Saya tidak sangka apa yang saya lakukan berakhir dengan tragedi berdarah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad yang memandu bas kilang dari arah Persiaran Raja Muda Musa menghala Pandamaran dengan membawa 35 penumpang yang juga pekerja kilang nyaris maut apabila brek bas yang dipandu secara tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan bas hilang kawalan lalu
melanggar sebatang pokok dan juga paip milik sebuah kilang, di simpang tiga lampu isyarat, Jalan Sungai Keladi, di sini petang kelmarin.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seorang penumpang wanita warga Indonesia maut manakala lima lagi cedera ringan yang kebanyakannya berada di kerusi hadapan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika pemandu bas dalam perjalanan menghantar 35 pekerja kilang ke kediaman masing-masing di Pandamaran selepas selesai bekerja.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu mendakwa bas yang dipandunya secara tiba-tiba hilang kawalan akibat brek tidak berfungsi sebelum melanggar pokok dan saluran paip.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan saluran paip pecah manakala salah seorang penumpang tercampak keluar daripada bas hingga meragut nyawanya.

“Lima lagi penumpang turut cedera manakala selebihnya dilaporkan selamat walaupun masih mengalami trauma,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini keterangan pemandu bas sudah diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-nekad-rempuh-pokok-1.22136

Kemalangan 4 sahabat

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN 6 Feb. - Kegembiraan empat sahabat yang dalam perjalanan pulang selepas bertemu rakan di Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kereta mereka hilang kawalan lalu terbabas di Kilometer 117.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Temerloh hari ini.

Dalam kejadian pukul 6.20 pagi itu, mangsa terbunuh ialah pemandu kereta, Ismadi Kechik, 25, yang bekerja sebagai pencuci kereta dan penumpang hadapan yang juga peniaga, Muhammad Nazir Abd. Khalit, 22.

Dua lagi rakan mereka yang cedera ialah penumpang di tempat duduk belakang, Alif Ridzuan Mohamed Nazeri, 19, dan Ahmad Ridzuan Rokbi, 23.

Menurut Pegawai Penguat Kuasa Tadbir/Trafik Negeri, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman, kejadian berlaku ketika empat sahabat tersebut dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Temerloh.

"Setibanya di lokasi kejadian, dipercayai kereta yang dipandu Ismadi tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan dan terbalik.

"Ekoran itu, keempat-empat mereka yang berasal dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh telah tercampak keluar dari kereta," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata Zainalabidin, kemalangan tersebut mengakibatkan Ismadi dan Muhammad Nazir cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala Alif Ridzuan serta Ahmad Ridzuan yang cedera ringan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

"Kes itu masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Ridzuan berkata, mereka bertolak ke Kuala Lumpur pukul 9 malam tadi untuk bertemu rakan di sana sebelum bertolak pulang pukul 4 pagi.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang dia tertidur namun terjaga apabila merasakan badannya seolah-olah 'melayang' keluar dari kereta.

"Saya jatuh di lereng bukit lebuh raya. Saya rasa badan sakit dan ketika cuba bangun, saya lihat tiga rakan bergelimpangan di atas jalan raya.

"Tidak lama kemudian Alif Ridzuan juga bangun namun Ismadi dan Muhammad Nazir tidak bergerak," katanya.

Katanya, dia cedera di kaki dan terpaksa menerima lima jahitan di kepala selepas tercampak keluar dari kereta manakala Alif Ridzuan pula yang juga cedera di kaki hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Al-Fatihah...


Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_19.htm


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my