loading...

Sunday, August 28, 2011

Dua Wanita Maut Dirempuh Van

BAGAN SERAI 28 Ogos - Dua penumpang maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas sebelum dirempuh sebuah van di Kilometer 202, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan berhampiran hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Merah di sini tengah malam tadi.

Kedua-dua mangsa ialah Noorzaihan Ishak, 28, dan adik iparnya Nurhasyimah Halim, 20.

  Keadaan kereta yang dinaiki mangsa

Ketika kejadian kira-kira pukul 12.08 tengah malam mereka dalam perjalanan dari Kedah ke rumah suami Noorzaihan di Batu Caves, Selangor untuk pulang berhari raya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kereta Proton Satria yang dipandu suami Noorzaihan gagal dikawal selepas dipotong secara laju oleh sebuah kenderaan lain.

Berikutan itu, kereta dinaiki keluarga malang itu terbabas dan merempuh besi penghadang di tengah lebuh raya.

Mat Fauzi berkata, ketiga-tiga mereka kemudian cuba keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri.

"Tiba-tiba, sebuah van tidak sempat mengelak lalu merempuh kedua-dua wanita itu menyebabkan mereka tercampak dan cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, suami Noorzaihan bagaimanapun terselamat apabila sempat mengelak dirempuh van itu.
Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat, manakala pemandu van bersama tiga penumpang cedera ringan.

Sumber: Utusan Malaysia

Penurunan Kes Kematian Hari Kelima Ops Sikap-24


Pada 27 Ogos - Bilangan kematian dalam Ops Sikap Ke-24 yang masuk hari keempat semalam meningkat kepada 77 orang.

Sebanyak 24 lagi kematian dicatatkan dan jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak Ops Sikap sempena Hari Raya Aidilfitri dijalankan sejak Selasa lalu.

Sepanjang tempoh 24 jam semalam juga, sebanyak 20 kes kemalangan maut dicatatkan daripada 1,625 kes kemalangan yang dilaporkan di seluruh negara.

Daripada 24 angka kematian yang dicatat semalam, jalan persekutuan merekodkan 13 kematian, diikuti tiga kematian masing-masing di lebuh raya, jalan bandaran dan lain-lain jalan serta dua kematian di jalan negeri.

Menurut laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), penunggang motosikal terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 14 orang, diikuti pengguna kereta (6), pejalan kaki (2) manakala pengguna lori dan lain-lain kenderaan masing-masing satu kematian.

Kenyataan itu turut menyebut, sehingga semalam, PDRM mengeluarkan sejumlah 9,556 saman atas pelbagai kesalahan.

Ops Sikap Ke-24 dimulakan Selasa lalu dan akan berakhir pada 6 September depan sempena sambutan Lebaran pada tahun ini.


Pada 28 Ogos (Bernama) -- Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya pada hari kelima Ops Sikap-24 semalam menurun berbanding Jumaat dengan mencatat 17 kematian, walaupun jumlah kenderaan bertambah di kebanyakan jalan-jalan utama di seluruh negara.

Menurut Polis Bukit Aman dalam laman webnya, rekod kematian berikutan kemalangan jalan raya semalam hanya 17 orang berbanding 24 orang pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, penunggang motosikal mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 11 kematian, dan masing-masing tiga kematian membabitkan pengguna kereta dan pejalan kaki.

Menurut kenyataan itu, 17 kematian itu dicatatkan dalam tujuh kemalangan maut di jalan persekutuan, enam kemalangan maut di jalan bandaran dan masing-masing satu kemalangan maut di jalan negeri dan lain-lain jalan.

Sementara sebanyak 9,108 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam.

Ops Sikap yang dilancarkan oleh Timbalan Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Isnin lepas bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai pemanduan berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan akan berakhir 6 Sept ini.

Sumber: Utusan 
             Bernama


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my