Saturday, June 4, 2011

Treler terbalik elak Myvi


KAMPUNG KEPAH - Seorang pemandu treler menghadapi detik mencemaskan dalam hidupnya apabila tercampak sejauh kira-kira tiga meter melalui bahagian cermin hadapan apabila kenderaan dipandunya itu terbabas lalu terbalik ke dalam longkang, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 9.40 pagi itu, mangsa, Mohd Shamsul Abd Aziz, 23, bersama kelindan, Rosli Zahari, 25, dalam perjala-nan pulang dari Johor Bharu menuju ke Kota Bharu, Kelantan setelah urusan mengambil makanan ringan dan barangan runcit selesai.

Mohd Shamsul berkata, sebelum kejadian dia memandu seperti biasa dan sebaik sahaja sampai ke selekoh secara tiba-tiba sebuah Proton Myvi dari arah Sungai Tong-Kuala Berang masuk ke laluannya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengelak daripada bertembung.

“Sebelum sampai ke kawasan selekoh ini lagi saya terlihat kereta tersebut memandu di lorong bertentangan dan saya membunyikan hon beberapa kali sebagai isyarat tetapi tidak diendahkan.

“Namun, apabila semakin hampir barulah pemandu kereta tersebut menyedari kejadian dan cuba mengelak sehingga dia juga hampir terbabas ke dalam parit tetapi terselamat.

“Keadaan itu turut menyebabkan saya terpaksa mengambil tindakan untuk mengelak agar tidak berlakunya pertembungan sehingga menyebabkan treler dipandu hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik.

“Semuanya berlaku sekelip mata, sebaik sahaja tercampak keluar daripada bahagian cermin hadapan treler yang pecah saya segera bangun untuk menyelamatkan diri kerana risau sekiranya kenderaan ini meluncur, namun syukurlah ia ‘tersangkut’ dalam parit,” katanya semalam.

Mohd Shamsul berkata, kejadian sedemikian kali pertama dialaminya sejak memandu treler kira-kira empat tahun lalu dan dia bersyukur terselamat serta hanya mengalami cedera ringan begitu juga dengan kelindannya yang tersepit di tempat duduk beberapa minit sebelum berjaya keluar.

Katanya, walaupun kejadian itu ibarat berpantang maut sebelum ajal namun dia akan meneruskannya sebagai sumber rezeki apatah lagi ramai ahli keluarganya juga berkecimpung dalam bidang yang sama. 

No comments:

Post a Comment