Friday, June 3, 2011

Kereta Berpusing, Penunggang Motosikal Parah


TAMPIN – Saksi kemalangan yang berlaku berhampiran Rumah Rakyat Kota, Rembau di Jalan Seremban-Tampin terkejut mendengar dentuman apabila sebuah kereta Perodua Myvi dari arah Seremban menghala ke Tampin berpusing menghala ke Seremban semula.

Khushari Osman @ Abdullah, 38, ketika ditemui di perkarangan Hospital Tampin (HT), malam kelmarin berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 8 malam itu membabitkan sebuahPerodua Myvi yang dipandu Siti Aida Ismail, 24, dan motosikal yang ditunggang M Logamathan, 34.

Menurutnya, walaupun jarak di antara lokasi kemalangan dengan kereta yang dipandunya hanya sekitar 30 meter, dia dan keluarga gagal melihat apa sebenarnya yang berlaku susulan lokasi berkenaan yang gelap.

“Bagaimanapun, sebaik terdengar bunyi dentuman dan terlihat kereta berpusing, saya terus memberhentikan kereta serta mendapati Logamathan terlentang di jalan raya.

“Manakala, Siti Aida yang berada di dalam kereta kelihatan terperanjat dan pucat,” katanya.

Kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan di HT dan difahamkan Logamathan mengalami kecederaan parah.

Khusairi berkata, dia sememangnya tidak nampak dengan jelas kejadian berkenaan, bagaimanapun mereka sekeluarga turut sama membantu mangsa kemalangan dan sanggup menunggu di HT bagi mengetahui keadaan mangsa.

”Muujur terdapat orang ramai yang sanggup menghulurkan bantuan sebaik sahaja kejadian berkenaan berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment