Thursday, May 5, 2011

2 Rumah dirempuh kereta


GEORGE TOWN - Sepasang suami isteri warga emas nyaris maut selepas kediaman mereka di Jalan Magazine di sini dirempuh sebuah kereta awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, pasangan berusia 70-an yang sedang menonton televisyen di ruang tamu itu dikejutkan dengan satu rempuhan yang kuat dari bahagian hadapan rumah mereka.

"Tiba-tiba sahaja sebuah kereta berada dalam rumah tidak jauh dari tempat kami menonton televisyen.
"Mujur kami sempat melarikan diri sebaik mendengar rempuhan itu dan tiada kemalangan mahupun cedera ringan yang berlaku ke atas saya dan juga suami," kata wanita yang enggan dikenali itu di rumahnya di sini semalam.

Akibat rempuhan yang kuat katanya, bahagian bawah tingkap rumah berusia kira-kira 150 tahun yang berhias dengan jubin bercorak klasik itu rosak teruk manakala dinding rumah retak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Asisten Komisioner Gan Kong Meng, berkata, kejadian rempuhan itu melibatkan sebuah teksi dan kereta Perodua Myvi termasuk sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

Sumber: Kosmo



BUKIT KATIL - Seorang ibu tergamam melihat sudut rumahnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, Noraishah Samad, 25, terkejut apabila terdengar dentuman kuat sebelum gegaran menakutkan semasa sedang menyuapkan anaknya di ruang tamu.

“Ketika terdengar bunyi dentuman itu, saya hanya terfikirkan anak lelaki saya yang berada di sudut rumah ketika kenderaan berkenaan merempuh dinding penjuru rumah,” katanya.

Menurutnya, dentuman itu juga menyebabkan dua anak perempuannya berusia setahun dan tiga tahun menangis ketakutan.

“Pada mulanya saya sangka ia kemalangan biasa saja. Selepas rasa rumah bergegar dan menjenguk keluar, saya tak sangka ada kenderaan rempuh dinding rumah saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.

Sementara itu, seorang saksi yang dikenali sebagai Arif, 17, sebaik saja melihat kenderaan itu terjunam, dia terlihat pemandu kenderaan lingkungan usia 30-an tersepit di tempat duduk, selain seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di tempat duduk sebelah pemandu.

“Beberapa orang awam serta penduduk terus menarik keluar pemandu terbabit dan menghubungi ambulan untuk membawa mereka ke hospital,” katanya.

Sumber: Sinarharian

No comments:

Post a Comment