Sunday, December 15, 2013

Tergamam nampak treler 'terbang'


16 Disember 2013
KEPALA BATAS - Seorang doktor wanita terselamat walaupun kereta dipandunya dihempap kepingan papan lapis yang terjatuh dari sebuah treler selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 124.8, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berdekatan Plaza Tol Sungai Dua di sini malam tadi.


Kejadian berlaku pukul 7.30 malam ketika mangsa, Suraya Hashim, 29, memandu kereta jenis Hyundai Elantra seorang diri dalam perjalanan dari Parit Buntar menghala ke Sungai Petani.

Bagaimanapun, sebaik sahaja melalui kawasan itu sebuah treler membawa muatan kepingan papan lapis dari arah bertentangan terbabas dan terbalik di lebuh raya berkenaan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Suraya berkata, dia melalui lebuh raya yang agak gelap namun tiba-tiba melihat kepala treler itu seperti terbang di atas lebuh raya.

"Saya bernasib baik apabila hanya bahagian hadapan kereta saya remuk selepas dihempap kepingan papan lapis yang tiba-tiba terjatuh dari treler itu.

"Saya juga bersyukur kepada Allah kerana sempat memandu kenderaan itu ke tepi lebuh raya. Saya rasa seperti mati hidup semula apabila beberapa keping papan melayang dan mengenai kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Kemalangan mengakibatkan ribuan kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan di kedua-dua arah terlibat dalam kesesakan yang teruk sejauh lebih 10 kilometer.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi berkata, treler membawa muatan ratusan kepingan papan lapis dalam perjalanan dari utara menuju ke selatan.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, salah satu tayar treler itu meletup menyebabkan treler terbabas lalu melanggar pembahagi lebuh raya sebelum terbalik," katanya.

Kepingan papan lapis dari kenderaan berat itu tercampak keluar dan mengenai kereta dipandu mangsa di laluan bertentangan.

Menurutnya, pemandu treler Ridzuan Abd. Karim, berusia lingkungan 40-an dari Batu Pahat, Johor cedera parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131216/dn_17/Doktor-terselamat-dalam-nahas
http://www.kosmo.com.my/
http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/12/15/doctor-escapes-death.aspx






No comments:

Post a Comment