Friday, September 27, 2013
Pelajar Akademi Laut Malaysia (Alam) maut
27 September 2013
PORT DICKSON – Seorang penuntut Akademi Laut Malaysia (Alam) maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 19.4 Jalan Pantai, kira-kira 3.30 pagi, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mereka dalam perjalanan dari arah Port Dickson menghala ke Pasir Panjang.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa yang maut, S Vijey, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan membabitkan kereta Proton Wira dan mangsa merupakan penumpang hadapan.
“Dipercayai kereta yang dipandu V Sivanantakumar, 22, hilang kawalan selepas melepasi selekoh sebelum terbabas dan terbalik ke bahu jalan bertentangan,” katanya.
Abd Wahab berkata, Sivanantakumar retak leher dan luka di bahagian muka serta tangan sementara dua lagi rakannya, P Navinan, 21, cedera di bahu kiri manakala P Thuban, 23, patah tangan kanan.
“Mangsa yang maut dibawa ke Rumah Mayat Hospital Port Dickson (HPD) untuk dibedah siasat dan telah dituntut ahli keluarga sementara mangsa yang cedera turut mendapat rawatan di HPD,” katanya.
Dalam pada itu, ayah mangsa maut, M Shanmugam, 51, memberitahu, dia tidak menyangka perbualannya dengan Vijey 12 malam kelmarin adalah yang terakhir.
“Dalam perbualan kami, Vijey memberitahu dia akan pulang pada Ahad ini untuk melihat ibunya yang sakit angin ahmar.
"Namun, selepas beberapa jam kemudian saya menerima panggilan daripada salah seorang keluarga rakannya mengatakan Vijey maut di tempat kejadian," katanya.
Tambah Shanmugam, Vijey sedang menjalani latihan di Akademik Laut Malaysia (ALAM) sebagai persiapan untuk dia bekerja di China.
“Vijey seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga memandangkan sekarang saya sudah bersara. Kehilangannya adalah sesuatu yang sangat dirasai,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat HPD.
Rakannya yang terlibat dalam kejadian itu, Navinan memberitahu, mereka dalam perjalanan pulang setelah makan di bandar Lukut.
“Sebelum itu, hujan sangat lebat dan kami tunggu sehingga hujan berhenti untuk pulang ke ALAM kerana pagi ini (kelmarin) kami akan mengikuti kursus yang akan bermula hari ini (kelmarin) di sini.
“Tiba-tiba sampai di satu selekoh, kereta Wira yang dipandu Sivanantakumar tidak dapat dikawal dan dengan sekelip mata kereta terbalik," katanya menceritakan detik cemas itu.
Tambah Navinan, dia cuba menarik Vijey keluar tetapi langsung tidak dengar suaranya. Dengan bantuan orang ramai, kami dikeluarkan dari kereta dan dia hampir pengsan apabila diberitahu Vijey meninggal dunia.
"Saya bersama tiga rakan lain baru menamatkan Diploma Nautika di Alam Jun lalu manakala Vijey pula pada Disember ini," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-alam-maut-kemalangan-1.206059
No comments:
Post a Comment