Monday, September 16, 2013

Nahas Konvoi Hari Malaysia


16 September 2013
KUANTAN - Lima peserta konvoi ‘Malaysia Ride’, dalam perjalanan menjelajah empat buah negeri sempena sambutan Hari Malaysia cedera parah selepas empat motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kemalangan di Kilometer 43 Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Cherating, dekat sini, tengah hari semalam.



Dalam nahas kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, ada mangsa mengalami patah kaki dan tangan selepas tercampak ke atas jalan akibat rempuhan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.



Seorang peserta konvoi, Mohd Rizal Ismail, 30-an berkata, peserta konvoi terdiri daripada 60 motosikal membabitkan 80 penunggang dan pembonceng berkonvoi dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Melaka dan merancang untuk singgah di bandar Kuantan untuk makan tengah hari.

Menurutnya, mereka semua bermula dari Pulang Pinang  dan sempat menjelajahi beberapa bandar sekitar pantai timur dalam perjalanan ke Melaka seperti yang dirancang.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, saya ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda  dari arah bertentangan memasuki sedikit laluan kami sebelum pemandunya membuat pusingan U secara tiba-tiba.

“Tindakan pemandu terbabit menyebabkan kenderaan dipandu merempuh empat motosikal peserta konvoi yang berada di belakang saya,” katanya.

Mohd Rizal berkata, dia  melihat rakan-rakan yang terlibat bergelimpangan di atas jalan dan menjerit kesakitan akibat kecederaan parah dialami.

Dia berkata,  pemandu Toyota Hilux itu kelihatan panik dan difahamkan cuba untuk melarikan diri namun dihalang oleh beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian.


Mohd Rizal berkata, mengikut perancangan, akan berkonvoi dari Terengganu menuju ke Melaka semalam sebelum singgah di Dataran Merdeka hari ini bagi meraikan sambutan Hari Malaysia.

“Kami semua dari Pulau Pinang dan berkonvoi ke Terengganu semalam (kelmarin) dan merancang untuk ke Melaka hari ini (semalam).

“Selepas kejadian ini, sebahagian peserta konvoi ini akan meneruskan perjalanan ke Melaka dan kemungkinan sebahagian lagi mengambil keputusan  pulang ke Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dilakukan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
news.abnxcess.com/2013/09/five-superbikers-injured-in-collision-with-toyota-hilux/
nst.com.my
sinarharian.com.my/edisi/lima-peserta-konvoi-parah-1.202446




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount