Saturday, August 17, 2013

Tidak sempat pulang memasak


Inalillahi wainailaihi rojiun

18 Ogos 2013
KUALA KRAI - Seorang ibu tunggal tidak sempat pulang memasak apabila maut dalam kemalangan berdekatan Kampung Hamzah, dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Azirawati Azri, 33, menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Perisai Wira setelah selesai membeli barangan keperluan di Pasar Kuala Krai.

Mangsa terlibat kemalangan dengan sebuah kereta yang berada di laluan sama dan dipercayai hendak masuk ke simpang kiri ketika kejadian.

Kemalangan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Adik mangsa, Ayuni, 24, berkata, kakak sulungnya keluar awal ke pasar untuk membeli santan seterusnya berhasrat memasak sayur terung untuk hidangan mereka keluarga.

“Dia keluar awal sebab nak beli barang memasak. Saya tak tahu kejadian sehinggalah dihubungi bapa, Azri Yusof, 54, kira-kira jam 8.49 pagi.

“Bapa beritahu along kemalangan dan dia dah tak ada. Bapa suruh maklumkan pada ibu elok-elok sebab takut ibu terkejut,” kata anak ketiga daripada empat beradik ini.

Ayuni berkata, arwah pernah menyuarakan hasrat berkahwin semula selepas adik keduanya, Atirah bersalin yang dijangka awal tahun depan.

“Arwah pernah menyuarakan hajat kahwin semula selepas tujuh tahun hidup sebagai ibu tunggal. Dia berhasrat menyerahkan tugasnya mengasuh anak-anak jiran kepada saya.

“Saya maklumkan pada dia tidak perlu bincangkan hal itu sebab lambat lagi, kami memang tak sangka arwah pergi begitu saja,” katanya.

Difahamkan, kematian Azirawati adalah kehilangan kedua keluarga ini kerana 28 Julai lalu, ibu Azri, Esah Amah, 77, meninggal dunia akibat penyakit berkaitan paru-paru di Sungai Pas.

Ibu arwah, Ramlah Mat, 52, berkata, malam sebelum kejadian, anaknya ada memberitahu hendak keluar beraya di rumah kawan keesokan harinya.

“Dia kata nak keluar beraya dan nak masak awal pagi. Saya kata saya nak makan sambal petai tetapi ikan bilis tiada.

“Dia ke pasar untuk beli santan, ikan bilis dan beberapa barang lain. Lama saya tunggu, dia tak balik hinggalah suami telefon dan jiran datang beritahu arwah kemalangan.

"Tak tahu macam mana lepas ni sebab selama ni arwah yang uruskan rumah, hantar anaknya dan adiknya ke sekolah, serta bawa saya ke hospital,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Krai selepas solat Asar semalam.

Adun Manik Urai, Fauzi Abdullah antara yang awal hadir ke bilik mayat bertemu keluarga mangsa.

Arwah meninggalkan seorang anak lelaki, Shahrul Afiq Shaharun, 10 tahun.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/ibu-tunggal-maut-lepas-beli-santan-ikan-bilis-1.192964



No comments:

Post a Comment