Saturday, August 3, 2013

Tak sempat kenalkan calon isteri



Inalillahi wainailaihi rojiun

3 Ogos 2013
UMBAI - Dia merancang untuk memperkenalkan calon isterinya kepada keluarga ketika Aidilfitri ini, Namun, hajatnya itu tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan impian murninya itu.


Itulah nasib seorang pembantu perubatan yang tidak sempat merayakan Aidilfitri bersama keluarga selepas terbabit kemalangan di Lebuh AMJ, berhampiran Serkam di sini, lewat petang kelmarin.

Muhammad Izzat Yusop, 24, yang sudah pun mengikuti kursus pra perkahwinan bersama teman wanitanya itu meninggal dunia di tempat kejadian apabila kereta Perodua Viva dinaikinya dilanggar sebuah Proton Saga dari arah bertentangan ketika dalam perjalanan ke Serkam, Jasin, dalam kejadian kira-kira 6.45 petang.

Manakala, teman wanitanya, Asiilah Shyaira, 24, yang turut berada dalam kereta berkenaan, cedera parah dan kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka.

Kakak arwah, Nurwahida Yusop, 29, berkata, lebih menyedihkan apabila adiknya itu dijadualkan pulang ke kampung halaman di Kampung Ganun, Alor Gajah, esok.

Nurwahida yang bekerja sebagai jururawat di Riyadh, Arab Saudi pulang cuti sempena hari raya sebelum itu meminta Izzat balik ke rumah ibu bapa mereka lebih awal supaya mereka sekeluarga dapat berbuka puasa bersama.

“Namun, saya tak sangka dia sebagai adik yang paling rapat dengan saya balik awal ke kampung dalam keadaan macam ni. Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu dengannya sejak kali terakhir pada Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, dia mengetahui adik bongsunya itu mahu memperkenalkan Asiilah sebagai calon isteri kepada keluarga hari raya ini. Malah, dia sendiri pernah melihat wajah Asiilah menerusi Whatsapp.

“Ibu memang tahu adik dan teman wanitanya itu sudah mengikuti kursus pra perkahwinan. Tapi ibu dan ayah belum pernah berjumpa dengan calonnya itu. Arwah merancang memperkenalkan ketika hari raya ini,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Nurwahida berkata, ketika kejadian, Izzat yang bekerja di Klinik Kesihatan Parit Bakar, Muar, Johor itu dalam perjalanan mengambil kereta jenis Perodua Myvi miliknya di sebuah bengkel di Serkam, Jasin.

“Ketika saya di Riyadh, Izzat menggunakan kereta saya. Dia menghantar kereta saya ke bengkel untuk dibaiki  selepas saya mengatakan saya mahu menggunakan kereta itu raya ini. Jadi, dia ke Serkam menaiki Perodua Viva milik teman wanitanya, Asiilah yang bekerja di Hospital Muar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Merlimau, Masri Ibrahim berkata, Izzat yang tersepit di tempat duduk hadapan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan sebelum usaha mengeluarkannya dari dalam kereta dilakukan.

“Sebuah jentera membabitkan enam anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan," katanya.

Menurutnya, bomba terlebih dulu mengeluarkan pemandu Proton Saga dikenali sebagai Amir Azamuddin Haisan, 19, yang tersepit dalam tempoh 15 minit, sebelum Izzat pula dikeluarkan dalam masa dua minit.

Bagaimanapun, menurut sumber, kemalangan berlaku selepas kereta dipandu Amir berseorangan menghala ke Muar terbabas masuk ke laluan bertentangan, lalu merempuh kereta dinaiki Izzat dan Asiilah selepas melanggar pokok hiasan di pembahagi jalan.

“Kereta dipandu Amir terbalik menyebabkan dia tersepit. Izzat yang turut tersepit meninggal dunia di tempat kejadian, sementara Asiilah yang cedera parah dikeluarkan orang ramai," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/hajat-sempena-raya-berkecai-1.189670



No comments:

Post a Comment