Friday, August 2, 2013

Bertabur alat tulis


2 Ogos 2013
NYALAS - Dua lelaki cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di hadapan Tanah Perkuburan Islam Kampung Melangkan di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, semalam.

Ketika kejadian, pemuda berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya memandu kereta jenis Proton Viva bersama rakan sekerjanya, Dzarul Hafiz Malek, 19, dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nyalas untuk mempromosikan alat tulis.

Kejadian menyebabkan pelbagai jenis pen bertaburan atas jalan, sebelum dikutip orang ramai yang datang menyaksikan kejadian.

Difahamkan, selepas kejadian itu, pemandu lori berkenaan melarikan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tepi jalan.

Jurucakap polis berkata, akibat kejadian itu, pemandu kereta berkenaan cedera parah di bahagian kaki dan dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Manakala rakannya hanya cedera ringan dan punca kejadian ini masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Roslan Masrah, 53, berkata, sebelum kejadian dia sedang menoreh getah tidak jauh dari lokasi kemalangan sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat.

Menurutnya, dia menghampiri kereta mangsa dan berusaha mengeluarkan penumpang kereta terbabit melalui tingkap dengan bantuan beberapa orang awam.

“Disebabkan penumpang hanya cedera ringan kami tiada masalah untuk membantu mengeluarkannya melalui tingkap, namun keadaan pemandu ketika itu tersepit di tempat duduk," katanya.

Katanya, pemandu kereta itu dikeluarkan dengan bantuan Jentera Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari yang ketika itu sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/alat-tulis-bertabur-atas-jalan-1.189368


No comments:

Post a Comment