Tuesday, July 30, 2013

Pemandu treler nyaris rentung

Pemandu treler nyaris rentung


30 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang pemandu treler yang membawa muatan minuman Coca-Cola terselamat daripada rentung dalam kebakaran yang memusnahkan bahagian hadapan enjin treler terbabit dalam kejadian yang berlaku di Kilometer (KM) 262 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 1.49 pagi, ketika pemandu treler yang berusia 24 tahun itu, sedang dalam perjalanan dari Senawang ke Klang bagi menghantar muatan 1,000 kotak minuman Coca-Cola tersebut.

Bagaimanapun, sampai di tempat kejadian, mangsa yang berseorangan dikatakan ternampak percikan api di bahagian hadapan enjin treler yang dipandunya, sebelum cemas menyebabkannya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terjunam di dalam longkang tepi jalan.

Pegawai Bomba Kanan 2,  Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, A Gunaselan berkata,  pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan, pada pukul 1.52 pagi.

Katanya yang mengetuai operasi itu, seramai empat anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikerah memadam kebakaran bahagian hadapan enjin treler berkenaan.

“Ketika pihak bomba sampai, kami mendapati api sedang marak dan 100 peratus bahagian hadapan enjin treler itu sudah terbakar, bagaimanapun bahagian belakang treler yang menempatkan muatan minuman Coca-Cola terbabit tidak terjejas.

“Kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengawal kebakaran bagaimanapun kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya 20 minit kemudiannya,” katanya.

Ujarnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan pemandu treler terbabit berada dalam keadaan yang selamat.

“Punca sebenar kejadian masih lagi disiasat,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pemandu-treler-nyaris-rentung-1.188255



No comments:

Post a Comment