Saturday, July 6, 2013

Hadiah yang terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

7 Julai 2013
CHUKAI – “Seminggu lalu arwah belikan saya telefon bimbit dan untuk ibunya pula, gelang tangan emas,” kata Hussin Endut, 52, yang tidak menyangka itu adalah hadiah pertama dan terakhir daripada anak ketiganya.

Mohd Ridzuan Hussin, 25, maut selepas lori jenis Isuzu yang dipandunya melanggar bahagian belakang treler membawa muatan baja dalam kejadian di Kilometer 165.3 Jalan Jerangau-Jabor, dekat Felda Neram 1, Air Putih, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Akibatnya, lori tiga tan yang dipandu Mohd Ridzuan remuk dan arwah yang tersepit di tempat duduk serta patah kedua-dua tulang rusuk meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang menghantar surat khabar di Kuantan, Pahang, dan menuju ke Ajil iaitu dari arah perjalanan yang sama dengan treler terbabit.

Hussin berkata, dia terkejut apabila anaknya itu menghadiahkan sesuatu yang berharga kepadanya dan isteri, Zainun Ahmad, 49.

“Kepada ibunya, arwah selalu berikan hadiah tapi kepada saya, inilah pertama kali. Sebelum ini arwah juga ada beli telefon bimbit untuk kakak dan dua adiknya.

“Dia seorang bertanggungjawab, sebab itu wang gajinya tidak dibazirkan dan dia juga boleh belikan barangan elektrik serta perabot di rumah kami. Akhir-akhir ini dia juga suka memancing,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kemaman, dekat sini.

Katanya, sudah menjadi rutin kerja, anaknya mula keluar dari kilang percetakan sebuah akhbar tempatan di Ajil seawal jam 2 pagi untuk menghantar akhbar ke Kuantan dan kebiasaannya pulang ke rumah semula sekitar jam 11 pagi.

Sementara itu, rakan sekerja mangsa, Mohd Fakhruddin Mohamad, 27, berkata, beberapa hari lalu arwah tidak banyak bercakap seperti biasa.

“Kali terakhir saya berjumpanya jam 2 pagi tadi ketika sedang punggah surat khabar ke dalam lori. Waktu itu saya lihat dia tidur nyenyak dalam lori, walaupun saya kejutkan dia masih belum bangun. Kali kedua kejut baru dia sedar sebelum kami bersama-sama bergerak ke Kuantan.

“Saya tahu kemalangan menimpanya semasa di Bukit Besi selepas rakan memaklumkan kejadian berkenaan. Saya terkejut dengan berita sedih ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Che Suza Che Hitam yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan bedah siasat terhadap mangsa dilakukan kira-kira jam 10.20 pagi.

Jenazah Mohd Ridzuan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kolam selepas Isyak, semalam.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/hadiah-terakhir-1.179770


No comments:

Post a Comment