Thursday, July 4, 2013

Gagal cubaan bunuh polis



4 Julai 2013
KULIM - Seorang lelaki berusia 20-an, yang cuba merempuh anggota polis kira-kira jam 4.30 pagi kelmarin, ditahan di Taman Petaling Indah kira-kira jam 12.30 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, anggota terlibat dipercayai keluar dari sebuah restoran di sini, sebelum terserempak dengan kereta suspek.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menghampiri kereta jenis Proton Wira yang digunakan suspek ketika cubaan merempuhnya.

“Sebaik sahaja mangsa dan seorang anggota trafik menghampiri kereta suspek dan cuba membuka pintu, suspek bertindak agresif dengan mengundur kereta dipandunya dengan laju sebelum merempuh kereta Perodua Myvi yang ada di belakangnya dan melarikan diri ke Jalan Air Merah.

“Unit MPV yang menerima maklumat kejadian itu kemudiannya mencari suspek bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri ke Taman Bersepadu,” katanya.

Ghuzlan berkata, sebaik sahaja suspek memasuki Taman Petaling Indah, unit MPV yang berada di lokasi kejadian mengejarnya bersama beberapa anggota Task Force dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kulim.

“Suspek cemas apabila jalan digunakan untuk melarikan diri merupakan jalan mati.

“Suspek kemudiannya mengundurkan kereta dan merempuh motosikal polis yang ada di belakangnya hingga mengakibatkan anggota terlibat cedera ringan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, anggota terbabit bertindak mengejar suspek dan akhirnya pemandu kereta terlibat berjaya ditahan.

Dari pemeriksaan dijalankan terhadap kenderaan diguna suspek, polis menemui satu pedang samurai di bahagian belakang tempat duduk kereta bersama beberapa keratan plastik lut sinar dipercayai dadah yang sudah digunakan.

Suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kulim untuk siasatan lanjut dan polis mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan seorang anggota polis terpaksa melompat ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri daripada dirempuh dan digilis oleh kereta dipandu suspek.

Ketika kejadian itu, mangsa membuat rondaan cegah jenayah di sekitar Taman Kota Kenari sebelum ternampak suspek memandu dalam keadaan mencurigakan.

Mangsa dan seorang anggota polis lain mengekori kereta jenis Proton Wira yang dipandu suspek sehingga ke Jalan Hospital dan Jalan Kulim membelok masuk ke lorong gelap bersebelahan Pejabat Pos Kulim.

Polis memasuki jalan Tunku Bendahara sebelum memintas di hadapan kereta suspek. Suspek kemudiannya keluar dari kereta dan cuba melihat penumpang yang berada dalam kereta dipandu polis.

Menyedari kereta yang berada di hadapannya adalah anggota polis, suspek bertindak mengundurkan keretanya bagaimanapun dipintas polis di hadapannya sekali lagi.

Suspek bertindak nekad dengan memecut kereta dipandunya dan cuba merempuh mangsa yang menghampiri kenderaannya.

Mangsa yang terjatuh bangun semula sebelum mengejar suspek bagaimanapun, suspek melarikan diri.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/padah-cuba-rempuh-polis-1.178775



No comments:

Post a Comment