Friday, July 5, 2013

Dua buah lori bertembung



6 Julai 2013
PORT DICKSON – Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaannya yang membawa muatan batu kerikil terbabas selepas tidak sempat mengelak sebuah lori tangki yang keluar dari simpang tiga Kampung Tampin Kanan, semalam.

Dalam kejadian 9.30 pagi itu, Nordin Kassim, 29, yang memandu dari arah Rembau ke Linggi tersepit di tempat duduk pemandu dan beberapa pengguna yang cuba membantu gagal mengeluarkan mangsa sebelum anggota Bomba dan Penyelamat Telok Kemang datang menghulurkan bantuan.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba kanan II, Abd Rahim Atan berkata, pihaknya mendapat panggilan pada 9.37 pagi dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.

“Kami terima maklumat dua buah lori bertembung dan apabila sampai hanya ada sebuah sahaja dengan keadaan pemandunya tersepit di bahagian kaki.

“Pasukan bomba mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dan dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna, P Balakrishnan, 67, berkata, sememangnya di kawasan simpang tiga itu kerap berlaku kemalangan dan penduduk mengelarkannya sebagai 'simpang maut'.

“Biasanya kenderaan yang datang dari arah Rantau dipandu laju tidak sempat mengelak kalau ada kenderaan yang tiba-tiba keluar dari simpang tiga ini.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuat sesuatu bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku dan meragut lebih banyak nyawa lagi,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terbabas-elak-lori-tangki-1.179539



No comments:

Post a Comment