Thursday, June 20, 2013

Penyajak maut dalam kemalangan


Inalillahi wainailaihi rojiun

20 Jun 2013
KUALA BERANG: "Saya tidak berani membuka pintu Kancil itu selepas melihat mangsa di dalamnya parah," kata Abdullah Osman, 51, saksi kejadian kemalangan maut di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, Kampung Batu 23, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi tadi.



Mangsa, Ibrahim Mohd Taib atau lebih dikenali Ibrahim Orang Ulu, 54, yang juga seorang penggiat seni teater di negeri ini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dipandunya bertembung dan Proton Gen 2 yang terbabas dan memasuki laluannya.

Abdullah berkata, ketika kejadian, dia sedang menghala ke pekan Kuala Berang dan melihat Proton Gen 2 terbabit yang berada di hadapannya cuba memotong sebuah kereta melalui laluan tepi sebelah kiri jalan.

"Namun, kereta berkenaan tidak berjaya memotong kerana terdapat sebuah motosikal di sebelah kiri jalan sebelum pemandunya mengelak ke kanan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah kereta Perodua Kancil yang dalam perjalanan dari arah pekan Kuala Berang ke Ajil.

"Akibat rempuhan kuat itu, Perodua Kancil terbabit melambung dan tersangkut di atas besi penghadang jalan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Aktivis seni Terengganu yang popular dan sering mendeklamasikan sajak orang hulu, Ibrahim Mohd. Taib, 54, maut dalam satu kemalangan yang berlaku di Kilometer 38 Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Batu 23


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, mangsa parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Proton Gen 2 terbabit terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Kancil yang dipandu mangsa," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 selain lesen memandu pesalah boleh digantung jika sabit kesalahan.

Katanya, pemandu Proton Gen 2 terbabit sedang dirawat di Hospital Hulu Terengganu akibat kecederaan di kepala dan badan.

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Rempuhanmaut//Article
news.abnxcess.com/bm/2013/06/penyajak-ibrahim-mohd-taib-maut-dalam-kemalangan
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130620/je_17/Penyajak-orang-hulu-Terengganu-maut-dalam-nahas





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount