Wednesday, March 6, 2013
Tidak ingin pulang lagi
Inalillahi wainailaihi rojiun
6 Mac 2013
BUKIT BESI - Seorang ibu tidak menyangka kata-kata anak lelakinya yang memberitahu dia tidak akan pulang lagi ke rumah adalah ungkapan terakhir sebelum anaknya itu menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan, di sini, petang kelmarin.
Berkongsi kesedihan, ibu mangsa, Zaleha Ismail, 44, berkata, anak lelakinya, Mohd Helmi Fazreen Mohd Basrin, 22, berkata demikian ketika mahu keluar rumah kira-kira jam 12 tengah hari untuk memancing udang bersama rakan di sungai berdekatan.
Zaleha berkata, dia sama sekali tidak menyangka ungkapan dianggap gurauan oleh anaknya itu petanda arwah bakal menemui ajal.
“Beberapa minit selepas keluar, dia pulang semula ke rumah kerana tertinggal umpan.
“Masa itu, saya tidak sempat bercakap dengannya kerana dia kelihatan tergopoh-gapah, tidak terlintas pula kata-katanya yang menyebut tidak ingin pulang lagi ke rumah rupanya menjadi kenyataan,” katanya.
Menurutnya, dia mendapat tahu berita kemalangan menimpa anak lelakinya yang masih bujang itu kira-kira jam 6 petang, lalu terus mengajak suaminya, Mohd Basri Saman, 47, ke tempat kejadian.
Kata Zaleha, hatinya bagaimanapun luluh seketika sebaik sampai di lokasi kemalangan apabila melihat jasad anak lelakinya terbujur kaku dilitupi kain di atas jalan.
“Arwah anak yang baik, dia tidak pernah lawan cakap saya,” katanya.
Mangsa yang bekerja di sebuah kilang papan berdekatan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak selepas pulang daripada memancing udang.
Mangsa dilanggar sebuah kereta ketika hendak membelok masuk ke stesen minyak terbabit dan maut serta-merta di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, selain patah kaki.
Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut sebelum dituntut ahli keluarga.
Jenazahnya dibawa pulang ke kampungnya di Besol, Bukit Besi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kemalangan di Kilometer 79 Jalan Jerangau-Jabor dan kejadian itu masih dalam siasatan.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tak-akan-pulang-rumah-1.13693
No comments:
Post a Comment