Saturday, March 9, 2013

Menyuap makanan yang terakhir



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Mac 2013
KOTA BHARU - “Dia sempat bergurau dan menyuapkan makanan kepada cucu sebelum terlibat dalam kemalangan ini,” kata isteri mangsa kemalangan maut, Zamilah Mohamad, 53.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 malam kelmarin, mangsa Abu Bakar Awang, 59, yang menunggang motosikal berseorangan dari arah Kok Lanas ke Kota Bharu dipercayai merempuh sisi kanan kereta jenis Perodua Kancil dari arah bertentangan ketika kenderaan itu cuba masuk ke sebuah lorong.

Zamilah berkata, suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan, tidak  memberitahu dia hendak ke mana pada malam kejadian.

“Dia memang sering keluar rumah selepas solat Isyak, sama ada ke kedai kopi atau membeli rokok, tetapi semalam (malam kelmarin) saya tidak tahu dia hendak ke mana.

“Terkejut menerima berita kematiannya selepas mendapat panggilan dari anak, saya terus bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki kereta anak perempuan saya dan melihat keadaan mayat suami yang terbujur kaku,” katanya sebak ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, kemalangan terbabit berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu kereta berkenaan.

“Penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah dan mati di tempat kejadian.

“Jenazah mangsa di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/penunggang-maut-setelah-rempuh-kereta-1.137956



No comments:

Post a Comment