Saturday, March 9, 2013

Maut pada hari lahir



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 Mac 2013
YAN - Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis tidak sempat menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-31 setelah motosikal ditungganginya merempuh pokok sebelum tercampak ke dalam parit di Kampung Sungai Kering, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu, Mohammad Zambri Mansor, dalam perjalanan dari Alor Setar ke rumah keluarga mertuanya di belakang pasar Pekan Yan Besar, selepas selesai menyertai operasi di Perlis.

Mangsa maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan di kepala dan lemas.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh pokok di tepi jalan sebelum tercampak sejauh 1.8 meter ke kawasan parit berdekatan.

“Kita mendapat maklumat kira-kira jam 9.40 pagi berhubung kejadian itu sewaktu seorang petani ingin melakukan aktiviti meracun di kawasan kebunnya dan menemui mayat tertiarap di parit.

“Masa kejadian dikenalpasti melalui pergerakan jam tangan mangsa terhenti pada waktu itu dengan keadaan cermin permukaan jam ada kesan retakan di lokasi,” katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan di sini, semalam.

Ismail berkata, rempuhan berlaku pada bahagian kanan berdasarkan kepada kerosakan teruk bahagian kanan motosikal.

“Sewaktu ditemui, mangsa masih berpakaian seragam kerja dengan menyarung jaket. Mayatnya dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan sempat meluangkan masa setengah jam menziarahi jenazahnya ketika dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan selepas menghadiri satu mesyuarat.

“Saya turut bersimpati dengan kejadian itu dan JPJ akan menguruskan proses pengebumian jenazah,” katanya.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Pekan Yan selepas Asar.


Tak sempat tatap wajah anak ketiga

YAN - Hasrat arwah Mohammad Zambri Mansor menyambut kehadiran cahaya mata ketiganya dua bulan lagi tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada hari kelahirannya ke-31 awal pagi semalam.

Bapa saudaranya, Amzaini Nayan, 52, berkata, arwah bersama keluarga berpindah ke Kedah tiga tahun lalu selepas ditukarkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis kerana sebelum ini berkhidmat di Sabah.

Menurutnya, arwah mempunyai dua anak masing-masing berumur lima dan dua tahun. Manakala isterinya, Shima Abdual Ghafar, 31, berkhidmat sebagai kerani di Kolej Komuniti Guar Chempedak dan sarat mengandung tujuh bulan anak ketiga.

“Kali terakhir saya bertemu arwah Ahad lalu ketika dia menegur saya di tempat kerja. Arwah seorang yang amat periang selain gemar kepada aktiviti berbasikal beramai-ramai bersama rakannya.

“Dia tidak menunjukkan sebarang kelainan sebaliknya hanya bersikap biasa. Arwah tinggal bersama keluarga mertuanya kerana sering berulang-alik menunggang motosikal ke tempat kerja,” katanya kepada media ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Yan, di sini, semalam.

Amzaini berkata, arwah berasal dari Junjong, Kulim.

Sementara itu, ibu mertua arwah, Che Bunga Mohd Saad, 61, sempat bertemu Mohammad Zambri kira-kira jam 6.30 pagi kelmarin sewaktu arwah ingin keluar ke tempat kerja.

Isterinya, bagaimanapun enggan ditemuramah kerana masih terkejut dengan kejadian menimpa suaminya.

Al-Fatihah


Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/tak-sempat-tatap-wajah-anak-ketiga-1.138014
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-pada-hari-lahir-1.138012


No comments:

Post a Comment