Monday, February 18, 2013
Tiga Orang Asli maut bertembung lori ikan
18 Februari 2013
ROMPIN – Tiga Orang Asli terbunuh dalam kemalangan ngeri manakala otak seorang daripada mangsa kemalangan maut itu bersepai dan berselerak atas jalan dalam kemalangan di Kilometer 147 Jalan Kuantan-Johor Bharu, di sini, petang semalam.
Kemalangan jam 3.40 itu membabitkan sebuah Proton Wira yang dinaiki kesemua mangsa bertembung dengan sebuah lori ikan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, mangsa yang terbunuh itu ialah pemandu kereta Proton Wira, Roslan Tan, 32, serta dua penumpangnya iaitu Saidi Daud, 21 dan Mazlan Aman, 18, manakala seorang lagi penumpang, Mizar Muda, 19, cedera parah.
“Kesemua mangsa dipercayai baru pulang menghadiri majlis perkahwinan saudara mereka di Muadzam Shah dan ingin pulang ke rumah mereka di Kampung Semanggar Kota Tinggi, Johor,” katanya kepada Sinar Harian.
Johari berkata, kejadian berlaku selepas kereta Proton Wira dari arah Kuantan menghala ke Johor Bharu dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Proton Wira terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan lain sebelum masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah lori ikan yang berada di hadapannya.
“Akibat rempuhan kuat itu, lori ikan yang dalam perjalanan dari Endau tidak sempat mengelak yang kemudiannya merempuh dan melenyek kereta terbabit sebelum terpelosok masuk ke dalam parit tepi bahu kanan jalan bertentangan,” katanya.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan mangsa berdepan kesukaran apabila mereka dipercayai tersepit selepas kenderaan dinaiki lenyek dihempap lori terbabit.
“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit diketuai Ketua Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Inspektor Abd Rahman Abd Jalil bersama pasukan Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin dan Endau,” katanya.
Menurutnya, kesemua mangsa mati di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Muadzam Shah bagi tujuan bedah siasat, manakala mangsa cedera parah pula dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menerima rawatan lanjut.
Bagaimanapun, katanya, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/tiga-orang-asli-terbunuh-1.132110
No comments:
Post a Comment