Thursday, February 14, 2013
Guru Sekolah Kebangsaan Durian Mas maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
15 Februari 2013
DUNGUN– Hasrat seorang guru untuk sampai awal di tempat kerja tidak kesampaian apabila dia menemui ajal selepas terbabit dalam satu kemalangan di satu selekoh, dekat sini, pagi semalam.
Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu berlaku ketika mangsa, Kamsaini Ismail, 58, dalam perjalanan dari rumahnya di Ketengah Jaya ke tempat kerjanya di Sekolah Kebangsaan Durian Mas 1, Al Muktafi Billah Shah.
Sebaik tiba di satu selekoh, kereta Mercedes Benz dipandu mangsa terbabas ke kanan jalan lalu merempuh tebing sebelum terbalik.
Mangsa difahamkan tercampak keluar dari kenderaan sebelum terjatuh atas batu-batan di kaki bukit itu.
Ketika kejadian, difahamkan keadaan jalan agak licin ekoran hujan renyai.
Menurut suami mangsa, Kamarudin Hamad, 57, pagi sebelum kejadian, arwah menyediakan juadah sahur untuk mereka berpuasa.
Bagaimanapun, dia tidak sempat menjamah hidangan disediakan arwah kerana terlewat untuk ke tempat kerja.
Kamarudin berkata, mereka berdua masing-masing meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja dan arwah dikatakan tidak menunjukkan sebarang perubahan.
“Saya keluar dahulu, dia mengekori di belakang, namun sebaik sampai di tempat kerja, saya menerima panggilan telefon isteri terbabit kemalangan. Sampai di tempat kejadian dia sudah meninggal dunia,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil bedah siasat, kematian mangsa disebabkan kecederaan parah pada kepala.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ketengah Jaya petang semalam.
Hadir menziarahi keluarga mangsa termasuk Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan kejadian berkata, polis masih menyiasat kejadian itu.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/arwah-tercampak-keluar-kereta-1.131394
No comments:
Post a Comment