Thursday, January 10, 2013
Tragedi hari pertama kerja
10 Januari 2013
BAGAN SERAI - Hari pertama bekerja pasti menjadi igauan buruk buat seorang pemandu lori apabila nyaris maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 118 Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke utara, di sini, petang kelmarin.
Pemandu lori berusia lingkungan 20-an itu terselamat daripada maut setelah lori dipandunya hilang kawalan dan merempuh sebuah kereta sebelum terbabas ke dalam parit berhampiran.
Saksi kejadian, Abd Rahim Yahya, 42, berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang, dia berada di kawasan berhampiran sebelum terdengar bunyi dentuman kuat akibat pelanggaran di antara sebuah kereta jenis Proton Iswara dan lori muatan tanah.
Menurutnya, dia bergegas ke tempat kejadian dan melihat keadaan lori yang sudah terbalik manakala pemandunya tersepit di bahagian tempat duduk.
“Sedang saya mendekati pemandu, saya terdengar mangsa mengerang kesakitan dan meminta pertolongan.
“Saya kemudiannya segera menghubungi polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Bagan Serai bagi,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian, Kampung Batu 8, di sini kelmarin.
Abd Rahim berkata, mangsa yang tersepit akhirnya berjaya dikeluarkan anggota bomba setelah bertungkus-lumus menarik keluar mangsa selama setengah jam.
“Mangsa terus dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di wad biasa manakala pemandu kereta terbabit hanya mengalami cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Abd Rahim, berdasarkan perbualan dengan mangsa, dia difahamkan mangsa baru memulakan hari pertama bekerja sebagai pemandu lori untuk sebuah syarikat pembinaan di daerah ini.
“Agak mengejutkan mangsa masih terselamat dan hanya mengalami kecederaan biasa walaupun badannya dihempap sebahagian kerusi penumpang lori sewaktu kemalangan berlaku.
“Mujurlah tiada kemalangan jiwa berlaku dan saya berharap tahap keselamatan di lokasi kejadian dipertingkatkan demi keselamatan pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih lagi dijalankan..
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/detik-cemas-hari-pertama-kerja-1.119663
No comments:
Post a Comment